Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 10 Ogos 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto

M encari Jambatan Togetsukyo dan menaiki Sagano Romantic Train adalah agenda kami seterusnya. Untuk itu kami perlu  melepasi deretan kedai di pekan Arashiyama.


Pekan Arashiyama


Pekan kecil Arashiyama mempunyai kelainan. Selain mempunyai taman-taman, hutan buluh, bangunan Kyoto kuno dan deretan kedai, terdapat banyak lanca yang diheret oleh lelaki Jepun yang gagah-gagah serta kacak. Pelanggan juga tidak henti-henti menaikinya.

Berapalah agaknya perlu dibayar? Jangan tanya saya sebab saya tak pernah naik. Mahal barangkali. Pernah terbaca yang ia boleh mencecah ratusan ringgit untuk 30 minit. Backpacker Ciput macam kami ni, tengok dengan putih mata sahajalah.

Sentiasa ada penarik lanca mencari pelanggan di pekan ini
Tentu seronok naik lanca yang ditarik orang. Hah...cepat-cepatlah tangkap gambar
"Kami nak masuk blog awak. Tangkaplah gambar kami."

Pekan kecil Arashiyama dibarisi dengan deretan kedai di kiri kanan jalan. Ada kedai cenderamata. Ada kraftangan buatan Jepun. Ada juga pakaian, makanan dan minuman. Melihat kedai yang bermacam-macam itu, hati kami terpancing untuk masuk ke dalamnya. Gambar di bawah ini ialah 'umpan-umpan pancing' yang kami lihat di dalam kedai.

Yukata yang dijual dengan harga istimewa
Pelbagai pilihan Yukata
Geta dipakai untuk melengkapkan yukata/kimono
Selain yukata, kraftangan yang comel-comel menjadi cenderamata yang digemari di sini
Replika makanan Kyoto yang dipamerkan di luar kedai
Kami tengok saja, 'umpan' ini bukan boleh dimakan sebab ini 'umpan' palsu


Yang Kami Beli di Arashiyama


Macam-macam kraftangan cinoni

Orang Jepun sangat sukakan karaftangan yang cinoni. Pelbagai pilihan kraftangan penduduk tempatan yang berjaya memancing hati kami. Antaranya bekas menyimpan pensil yang dibuat daripada kain, saputangan bersulam, kipas tangan yang boleh dilipat-lipat, kotak mengisi barang kemas, quilt, patchwork, pinggan mangkuk daripada buluh, anak patung, penanda buku, beg duit yang bersaiz kecil, payung dan macam-macam lagi.

Kami merembat beberapa keping fridge magnet yang bergambar pemandangan dan kimono. Kami juga sempat merembat t-shirt kain kapas bertulis Samurai yang berkualiti baik. Kalau tak rembat nanti menyesal pula.  Mungkin ini kali pertama dan terakhir di sini?

Fridge magnet yang kami rembat di sini. Cinoni, kan? Harganya di antara 380-550 yen (RM12-17)
T-shirt Samurai yang kami rembat di sini berharga 1,200 yen (RM38) sehelai.


Pertunjukan Fesyen Jalanan Secara Live


Berjalan-jalan sambil membeli-belah di Arashiyama memberi peluang kepada kami melihat ragam kehidupan masyarkat Jepun. Kami juga dapat melihat pelbagai fesyen pakaian diperagakan. Peragaan pakaian ini bukannya di atas pentas tetapi di atas jalan raya. Kami lihat secara percuma. Live!

Orang Jepun suka bergaya mengikut fesyen kegemaran masing-masing. Mereka suka mendandan rambut dengan amat bergaya dan mencelupkannya dengan pelbagai warna pelik, tidak kira lelaki atau perempuan. Ada yang suka memakai kasut bertumit tebal dan tinggi. Ada yang suka berpakaian gaya Cosplay/Ganguro, iaitu meniru penampilan karakter anime atau manga atau game kegemaran mereka. Pakaiannya berwarna terang, rambutnya dilunturkan warnanya dan kasutnya bertapak leper. Ada yang meniru gaya Gothic dengan pakaian dan solekan bewarna hitam. Ada yang berpakaian tradisional seperti kimono. Ada yang menjadi seperti anak patung maiko/geisha.

Dua remaja (di tengah-tengah) berpakaian Cosplay/Ganguro 
Remaja Jepun membeli-belah dan bersiar-siar di pekan Arashiyama
Peniaga memakai kimono dan berdiri di pintu depan kedai untuk 'mengumpan' pelanggan
Bukan sahaja peniaga berpakaian kimono tetapi pembeli juga berpakaian kimono. Kedai ini menjual bermacam-macam cenderamata seperti payung, beg duit dan quilt.
Kimono dan mini-skirt jadi pilihan pada musim panas
Remaja Jepun membeli-belah di Arashiyama dengan berpakaian tradisional
Dua pasangan Jepun ini memperagakan pakaian tradisional dan posing khas untuk pembaca blog ini. Yang di sebelah kiri bersolek dan berdandan cara geisha.
Kimono dari belakang
Seronoknya naik lanca di pekan Arashiyama

Jambatan Togetsukyo


Akhirnya kami sampai di hujung pekan Arashiyama. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Kami menemui Jambatan Togetsukyo yang kami cari-cari. Ia merentasi Sungai Katsura di sebelah kiri dan Sungai Hozu di sebelah kanan. Sungai ini amat jernih airnya. 

Pemandangan di sini sangat cantik kerana ia berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama.

Kami pun duduk dan melunjurkan kaki di atas bangku batu yang ada di tebing Sungai Katsura. Kami duduk memandang jambatan, sungai dan gunung yang berada di sebelah kanan. Inilah tempat terbaik bagi kami ketika itu. Apabila pulang barulah kami tahu bahawa inilah tempat yang sering jurufoto pilih dan pemandangan yang dibidik dari situ sering diabadikan dalam kalendar, tiket keretapi, fridge magnet dan bahan publisiti pelancongan Kyoto. Tak sangka cara main redah kami telah menyebelahi kami!

Angin meniup tenang. Sambil merehatkan kaki dan melepaskan lelah kami dapat memerhati orang Jepun berehat di tepian sungai. Terasa amat nyaman!

Setelah puas meregang kaki di bangku itu kami terus melaksanakan hasrat kami untuk menaiki keretapi Romantik. Mungkin stesen keretapinya di seberang jambatan sana.

Jambatan Togetsukyo dan Sungai Katsura 
Jambatan Togetsukyo dan Sungai Hozu
Lanca di atas Jambatan Togetsukyo

Mencari Romantic Train


Kamipun cari Romantic Train yang menjadi idaman kalbu. Kamipun menyeberangi Jambatan Togetsukyo. Semasa berjalan merentasi Jambatan Togetsukyo itu kami ternampak banyak bot dan sampan menyusuri Sungai Hozu. Kegembiraan kami bertambah. Hati melonjak-lonjak ingin menaiki bot itu. Stesen Romantic Train juga tidak berjauhan dari situ. Itupun kami ingin naiki. Jadi sekarang kami ada dua pilihan ~ naik bot atau naik keretapi Romantik? 

Setelah berfikir, kamipun membuat keputusan untuk naik kedua-duanya.

Kamipun bertanya kepada penarik lanca yang sedang berehat di tepi jalan tentang tempat untuk menaiki kedua-duanya. Menurutnya oleh kerana hari itu Rabu, keretapi Romantik itu tak beroperasi.

"Aiseimen...tak dapatlah naik keretapi itu. Keretapi itu cuti setiap hari Rabu rupanya." :(

Ingat ya, hari Rabu tak ada keretapi Romantik!

Apabila pilihan pertama menaiki keretapi Romatik itu tak dapat dilaksanakan, kami menaruh harapan pada pilihan kedua iaitu menaiki bot. Tetapi apabila kami tanya pada penarik lanca itu, beliau memberitahu kami dengan sedihnya bahawa pada hari itu bot tak dibenarkan beroperasi kerana hari itu dijangka akan hujan dan air sungai akan naik, jadi membahayakan buat orang ramai.

Jadi kami tak dapatlah naik keretapi dan bot pada hari itu. Aiseimen! Inilah akibatnya main redah je kan? Tetapi Backpacker Ciput sejati mana boleh 'frust menonggeng'. Kami tidaklah ralat, kerana kami masih boleh melihat keindahan Arashiyama hanya dengan berjalan kaki.


Pemandangan dari seberang jambatan
Kedai beratapkan seni Jepun kuno
Bot menyusuri Sungai Hozu
Keindahan Sungai Hozu yang berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama. Bot ini hanya membawa tetamu hotel ke hotel di seberang.
Mendayung sampan di Sungai Hozu
Lelaki Jepun gigih mendayung
Saya dan kenangan di atas bot di Sungai Hozu. Bot tak jalan hari ini. Dapat duduk di dalamnya dan posing sekejap pun jadilah.

Petang itu hujan rintik-rintik. Setitik demi setitik ia turun membasahi bumi. Kami mengembangkan payung lutsinar yang kami pinjam daripada tuan rumah kami. Sebenarnya payung itu telah kami jinjing sejak keluar rumah pagi tadi. Pada mulanya kami tertunggu-tunggu ~ "Bila nak hujannya?" ~ kerana kami sudah mula bosan dan malas menjinjing payung itu seharian. Tapi apabila hujan menitis lewat petang itu barulah rasa berbaloi menjinjing payung itu.

Oleh kerana hujan renyai, langit mendung dan hari mula gelap kami pun menaiki bas meninggalkan Arashiyama. Kami pulang ke rumah Jepun cinoni kami untuk berehat dan solat.

Pada malam hari nanti kami hendak mengushar geisha di Gion. Dapatkah kami ushar? Nantikan ceritanya dalam entri akan datang.

...bersambung                                                             
                 
 ...baca entri akan datang di sini
[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (12): Usyar Geisha di Gion, Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini:



Rabu, 6 Ogos 2014

Ketupat Periuk Kera Juadah Raya Yang Unik di Kuala Kangsar

J ika ada destinasi yang membuat saya ingin kembali berkali-kali sudah pastinya kampung halaman saya di Kuala Kangsar. Kemudiannya di Ipoh. Walaupun saya sudah mengembara ke merata pelusuk dunia dan pernah tinggal di tiga negara dalam jangka masa yang lama, saya masih tetap memilih tanah tumpah darah saya ini. Jiwa saya tenang di sini.

Bukit Chandan, Kuala Kangsar dari udara. (Aerial Photography oleh Salmiah Mior Abbas)
2 Syawal 1435 di Bukit Chandan, Kuala Kangsar

Beberapa orang yang saya temui, rata-rata memberi alasan yang hampir sama. Maka kerana itu satu pertemuan kembali dengan rakan-rakan sekolah kami adakan setelah masing-masing terpisah puluhan tahun. Bertemu kembali dengan rakan-rakan sekolah yang dahulunya hanya budak-budak hingusan benar-benar menggembirakan. Lebih-lebih lagi masing-masing sudah memiliki rumahtangga sendiri, kerjaya yang stabil dan perubahan diri yang baik.

Lemang yang baru dimasak
Lemang jagung dan rendang yang dibuat oleh kawan saya Eshah. (Gambar ihsan Eshah Abdul Rahman)

Lemang dan rendang adalah juadah yang tidak ketinggalan ketika raya di Kuala Kangsar. Ada macam-macam jenis lemang ~ lemang pulut, lemang jagung, lemang tepung dan lemang ubi. Rendang yang menjadi kegemaran ialah Rendang Pedas dan Rendang Tok.

Masri sedang membakar lemang di luar rumah kampungnya di Rambai Tujuh, Kuala Kangsar. (Gambar ihsan Masri Ismail)
Rendang yang sedang dimasak Masri di dalam kuali. (Gambar ihsan Masri Ismail)
Kalau malas membuat lemang sendiri, kita boleh beli lemang yang banyak terdapat di sepanjang jalan di Kuala Kangsar terutamanya di antara Kota Lama Kiri hingga ke Chemor. Namun rasanya tidak seenak lemang yang dibuat sendiri.

Namun ada sejenis juadah tradisional yang jarang muncul dalam menu raya. Ia hasil air tangan kawan saya Masri. Ingin saya kongsikan di sini kerana bagi saya ia adalah juadah yang unik dan istimewa. Iaitu Ketupat Periuk Kera. Ia dibuat dengan memasukkan pulut bersantan ke dalam kelongsong Periuk Kera iaitu sejenis tumbuhan karnivor (yang memerangkap serangga).

Masri menunjukkan Periuk Kera yang baru ditemuinya di Senggang, Kuala Kangsar. (Gambar ihsan Masri Ismail)

Ketupat Periuk Kera ini mudah disediakan dan ia masak cepat. Namun ia jarang dibuat kerana kesukaran memperolehi Periuk Kera dalam kuantiti yang banyak.

Membersih kelongsong Periuk Kera perlu berhati-hati kerana ia nipis dan mudah terkoyak. Di bahagian luar kelongsongnya terdapat rerambut halus yang perlu dikikis keluar. Di dalam kelongsongnya pula sering ada serangga yang terperangkap dan perlu dikeluarkan. Begitu juga dengan bahagian leher (bottleneck) kelongsong Periuk Kera yang sempit juga perlu dibersihkan dengan berhati-hati.

Setelah Periuk Kera ini dibersihkan, pulut yang telah direndamkan dengan santan dan sedikit garam dimasukkan ke dalam kelonsongsong Periuk Kera. Pulut itu disumbatkan sehingga hampir penuh. Pulut mengembang apabila dimasak dan kalau disumbat terlalu penuh ia akan terkeluar dari kelongsongnya. Sedikit santan dimasukkan ke dalamnya supaya ia sebati dengan pulut.

Semasa menyusunnya di dalam kukusan, kelongsong Periuk Kera ini diletakkan dengan cara berdiri supaya isinya tidak tumpah. Ketupat ini lalu dikukus. Ia masak cepat di antara 30-45 minit. Rasanya? Sudah tentulah hmmm...PERGH!!!! LAZAT!

Ketupat Periuk Kera hasil tangan Masri yang sedia untuk dimakan...PERGHHH!!!!

Ketupat Periuk Kera ini boleh dimakan dengan rendang atau dimakan begitu sahaja. Teksturnya yang lembut dan warnanya yang keungu-unguan kerana kelongsong Periuk Kera melekat pada pulut membuatkan kelazatannya tidak dapat dilupakan.

Anda pernah makan Ketupat Periuk Kera? Kalau pernah, kongsilah pengalaman anda di sini.

Jumaat 5 Syawal 1435 di Masjid Cina, Ipoh. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Masjid ini sila imbas kembali entri saya yang lepas di SINI
Sekiranya anda ingin mendapatkan Rendang Tok, boleh cari di Pasar Karat (Memory Lane), Ipoh

Selamat berpuasa enam :)

Ahad, 27 Julai 2014

Ucapan Raya Bahasa Alien


B agaimana agaknya kalau ucapan raya disampaikan dalam bahasa Alien? Nak tahu tak? Kalau nak tahu sila klik video ini yang dibuat khas untuk anda. Klik tau, jangan tak klik :)





He..he..he.. itulah ucapan raya yang anak saya buat secara 'beatbox', khas untuk pembaca blog Nota Kembara Naramas Aman. 

Penaku tajam bak pedang, 
Kata-kataku bisa bak sembilu, 
Dalam-dalam aku goreskan, 
Sehingga sebak di hatimu.

Taqobbalallahu minna wa minkum, 
Hanya padamu ku pohon ampun.








Isnin, 21 Julai 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (10): Menyapa Keindahan Arashiyama, Kyoto

A rashiyama sebuah tempat di kaki Gunung Arashiyama, di bahagian Barat Kyoto, seakan-akan menyihir Backpacker Ciput dua beranak ini pagi itu. Khabarnya banyak keindahan alam yang boleh kami lihat. Antaranya ialah Gunung Arashiyama, Hutan Buluh, Taman-taman, Warisan Kyoto Kuno, Jambatan Togetsukyo, Sungai Katsura dan Sungai Hozu. Disamping itu kami boleh mendalami budaya dan kepercayaan masyarakat di situ.


Menggunakan One-day Pass di Bandar Kyoto


Setelah menyusun rancangan ke Arashiyama saya dan anak sayapun ke stesen Kitaoji. Kami ke kaunter pertanyaan untuk mendapatkan maklumat. Pegawai di situ menyarankan kami membeli One-day Pass (Pas Sehari) kerana ia lebih menguntungkan.

Ada dua jenis One-day Pass (Pas Sehari):

1) Untuk bas bandar Kyoto sahaja
  • Boleh digunakan dalam zon bandar yang diperuntukan (Arashiyama, Sagano, Takao, Shugakuin dan sebagainya)
  • Harga: Dewasa ¥500 (RM15.70), Kanak-kanak ¥250 (RM7.85)
  • Digunakan tanpa had pada hari yang sama
  • Sekiranya menaiki bas di luar dari zon yang diperuntukkan, perlu bayar tambahan
2) Untuk bas dan keretapi bawah tanah Kyoto
  • Pas Sepanjang hari, Dewasa ¥1,200 (RM37.66) / Kanak-kanak ¥600 (RM18.83)
  • Boleh digunakan untuk menaiki bas bandar dan keretapi bawah tanah
  • Pengunaan tanpa had untuk sehari 
  • (Nota: Terdapat juga Pas Dua Hari, Dewasa ¥2,000 (RM62.78) / Kanak-kanak ¥1,000 (RM31.39). Pengunaannya tanpa had untuk dua hari)
One-day pass ini menjimatkan dan memudahkan kami ke beberapa tempat menarik di Kyoto. Pass ini boleh digunakan untuk menaiki bas dan keretapi.

Kami pilih One-day Pass (Pas Sehari). Ia boleh digunakan sepanjang hari ke beberapa tempat menarik di Kyoto. Dengan pass ini kamipun naik keretapi bawah tanah dan bas dari Kitaoji => Karasumaoike =>Arashiyama. Pada petangnya pula kami masih menggunakan pass ini dari Arashiyama => Karasumaoike => Kitaoji. Pada malam hari pula kami masih menggunakan pass yang sama iaitu dari Kitaoji => Gion, Gion =>Kitaoji.

Tak ramai penumpang dalam keretapi dari Kitaoji ke Karasumaoike

Dari Kitaoji kami ke Karasumaoike dengan menaiki keretapi bawah tanah.

Hentian bas C di Karasumaoike

Di Karasumaoike, kami menunggu bas No. 93 di hentian C untuk ke Arashiyama. Nombor bas itu ada tertulis pada papan hentian bas. Bas akan sampai 20 minit lagi. Kamipun tunggu. Tetapi ditegur oleh seorang wanita Jepun dengan sopan.

 "Are you alright waiting for the bus here?" katanya memulakan perbualan.

"We are going to Arashiyama," kata saya memahami maksud wanita itu.

"If you want to go to Arashiyama, the bus is on that street. You look over there. That is West. Arashiyama is on the West," jelasnya.
.
Jadi kami sudah silap tunggu bas. Mujurlah ada orang perasan.

Hentian bas B di Karasumaoike. Di sini ada wi-fi percuma selama 3 jam. Bas no. 93 ke Arashiyama

Wanita Jepun itu sudah menghantar kami ke hentian bas (B) yang dimaksudkannya tadi sehingga kami harus kembali mencari jalan sendiri untuk melanjutkan perjalanan. Terima kasih buat wanita Jepun itu yang secara sukarela membantu musafir kelana ini yang mungkin akan sesat-barat kalau tiada siapa yang hirau. Kagumnya kami kerana dia yang dahulu bertanya kami dan bukan kami yang bertanya dia.

Orang sudah ramai menunggu apabila kami di hentian bas itu. Kamipun siap-siap beratur. Yang membuatkan kami kagum lagi ialah wi-fi diberikan percuma selama 3 jam. Jadi bolehlah melayari internet ketika menuggu bas datang. Tapi kami tak berbuat demikian kerana suasana yang hidup sekeliling kami lebih menarik panca indera kami daripada suasana di dalam internet.

Tak lama menunggu, bas ke Arashiyamapun sampai. Peraturan naik bas di sini sedikit berlainan ~ naik ikut pintu belakang, turun ikut pintu depan. 

Di dalam bas dari Karasumoike ke Arashiyama

Sampai Di Arashiyama


Lebih kurang 20 minit di dalam bas, tulisan "Saga Arashiyama" terpampang di atas skrin dekat pemandu. Kamipun turun. Sebelum turun kami ikut orang lain jolokkan pass pada lubang mesin tiket tepi tangga. Pass itu keluar semula menandakan pass ini sah dan tambang bas dah dibayar.

Kami sangka dah sampai ke Arashiyama. Kami lihat di situ ada sekolah. Tak kelihatan tempat itu seperti Arashiyama yang sepatutnya ramai orang. Bingung. Mulalah kami mencari.

Papan peta yang terdapat di tepi-tepi jalan kami baca. Rupa-rupanya di situ ada empat tempat bernama Arashiyama. Ada Saga Arashiyama, Kyoto Arashiyama, Burari Arashiyama dan Arashiyama. Kami sudah turun di Saga Arashiyama, iaitu dua hentian lebih awal. Kamipun berjalan kaki. Tapi tidaklah jauh sangat. Kami cuma kena naik jejantas dan masuk simpang kedua. Lebih kurang 10 minit, kami sudah nampak orang ramai dan pelancong Mat Salleh sedang membaca peta dan mencari-cari macam kami juga. Di situ ada pekan.

Peta tepi jalan menunjukkan terdapat 4 Arashiyama

Kami menunggu keretapi lalu sebelum melintas jalan ke pekan Arashiyama

Ketika itu sudah tengahari, kami cari benteng untuk duduk makan. Setelah jumpa benteng tepi kedai kamipun duduk lalu membuka bekalan nasi yang saya masak di rumah Mr Reggae pagi tadi. Di Jepun, tak siapa kenal saya, profesyen saya telah bertukar menjadi Backpacker Ciput. Perasaan malu duduk makan nasi atas benteng tepi kedai tak ada langsung, sebab yang penting, perut mesti diisi dengan makanan halal.

Makan tengahari kami sangatlah sempoi. Nasi putih yang dah sejuk dengan serunding daging yang saya beli di Bukit Bunga Kelantan baru-baru ini. Terasa sangat nikmat makan nasi sempoi begini ketika di rantau orang.

Kami kemudiannya melalui kedai-kedai yang ada di pekan itu. Antaranya ialah kedai makan bernama Hanana. 

Kedai makan Hanana mengingatkan saya pada lagu "Ya Hanana"

Ketika melihat kedai Hanana ini saya teringat lagu "Ya Hanana" nyanyian sebuah kumpulan qasidah di Malaysia. Kamipun nyanyi, "Ya Hanana Ya Hanana Ya Hanana..." Baru nyanyi lagu itu sebaris, tetiba kami nampak di hadapan kami logo halal. Logo halal itu terletak pada papan iklan di hadapan kedai Black Paint bersebelahan dengan kedai makan Hanana  itu.  Kami ketawa gembira, macam ada kena-mengena lagu Hanana dengan logo halal itu. Sebenarnya logo halal itu untuk sejenis produk rawatan wajah berjenama Black Paint.

Kami agak hairan juga, logo halal pada bahan rawatan wajah terdapat di Arashiyama, padahal orang Islam bukannya ramai di sini. Menurut statistik yang saya perolehi dari sumber yang dipercayai, hanya 1% sahaja orang Islam di seluruh Jepun. Adakah produk ini  untuk pelancong Islam atau untuk dieksport ke negara-negara yang ramai penduduk Islam? Bagi kami Backpacker Ciput ini, kalau diberi pilihan, kedai makanan halallah lebih penting daripada kosmetik halal ketika itu. Tak pernah terlintas hendak buat rawatan wajah di Jepun ini yang harganya pasti membuatkan tangan saya menggigil membayarnya. Lainlah kalau di Medan atau Vietnam. 

Syukur alhamdulillah, ada juga orang Jepun yang prihatin tentang kehalalan bahan kosmetik walaupun peratusan umat Islam tidak ramai di sini. Saya tak pasti jenama ini sudah ada di Malaysia atau tidak? Kalau tak ada lagi...hah cepat-cepatlah kita buat bisnes.

Inilah bahan pencucui wajah halal yang saya maksudkan. Ia berjenama Black Paint. Di sebelah kedai Black Paint ialah kedai makan Hanana.
Logo halal untuk rawatan wajah jenama Black Paint dari syot tangkap dekat

Hutan Buluh


Selang beberapa langkah dari kedai Black Paint halal itu tadi, kami terus nampak hutan buluh yang sering disebut-sebut orang. Letaknya di seberang jalan dari kedai tadi. Orang tidaklah ramai sangat. Kami jalan lenggang kangkung sahaja. Boleh pilih spot mana yang kami suka untuk posing gaya bebas. Cuaca pula pada masa itu bagus. Tidak panas. Matahari tak muncul. Redup sahaja. Khabarnya nak hujan hari ini.  

Buluh yang banyak ditanam. Warna buluhnya agak berlainan dengan warna buluh kita ~ hijau kelabu
Eh, ada orang naik lanca..dia tak marah ambil gambar dia
Budak-budak sekolah melalui lorong buluh ketika pulang ke rumah dari sekolah. Ada kawasan perumahan di hujung sana.
Tinggi-tinggi pokok buluh di Arashiyama ini
Lanca melalui lorong di dalam hutan buluh

Seperti biasa saya selalu takjub melihat keindahan tanaman hijau. Hutan buluhnya luas. Pasti ada orang yang mengusahakannya. Tambahan pula ia dipagari rapi dan hutan buluhnya kelihatan seperti didandan.

Kami terus berjalan sehingga ke belakang hutan buluh. Dalam perjalanan itu kami nampak ada pondok-pondok kecil di tepi jalan. Oleh kerana ia tepi jalan dan terbuka, ia mudah dilihat oleh sesiapa sahaja yang lalu di situ.

Di situ kami nampak ada beberapa orang sedang membasuh tangan, menulis di atas kayu, menarik loceng dan menghadap sebuah pondok kecil, tunduk hormat sambil memohon. Saya tidak pasti mereka memohon kepada siapa sebab tidak ada penerangan mengenainya. Mungkin kepada roh nenek moyang mereka atau kepada dewa? Mungkin mereka ini penganut Shinto. Gerai jual cenderamatapun ada di situ. Tapi kami tak minat. Takut terbeli peralatan sembahyang mereka pula.

Tempat orang Jepun membasuh tangan. Mungkin ini kolah air sembahyang mereka.
Kertas diikat pada tali rentang. Tak tahu apa tujuannya. 
Orang Jepun menulis di atas kayu. Mungkin permintaan.
Kayu-kayu yang penuh dengan tulisan permintaan
Gerbang menuju sebuah taman kecil. Hutan buluh di sekelilingnya
Tanglung dan tulisan bergantungan

Kami melanjutkan perjalanan sehingga ke belakang hutan buluh itu. Sambil itu cari tandas. Di situ kami lihat ada kedai menjual hasil kraftangan buluh. Kilang memproses buluh pula tak jauh dari situ. Rumah-rumah penduduk tempatan pula bersebelahannya. 

Tapi rasanya kami ingin melepaskan penat sejenak sambil melabuhkan punggung di atas benteng batu dan meluruskan kaki. Sambil itu indera penglihatan kami tidak lepas memerhatikan penduduk di situ mengekori anjing kesayangan bersiar-siar. Beberapa pelawat memilih untuk menaiki lanca dan memperagakan kimono sehingga membuat kami bertambah asyik.

Hasil kraftangan dari buluh dijual di kedai di Lorong Buluh, Arashiyama
Beribu-ribu batang buluh tumbuh di sini
Kilang memproses buluh
Buluh di sini agak berbeza dengan buluh di Malaysia kerana saya tak nampak miang buluh pada batangnya. Saya masuk ke dalam celah-celah rumpun buluh ini dan memegang batangnya, tak rasa miang pun.
Penarik lanca ini bercerita sambil menarik orang sehingga ke belakang Hutan Buluh
Penduduk tempatan berjalan-jalan membawa anjing
Dua gadis ini sedang bersiap-siap dan berdandan
Oh rupa-rupanya mereka nak ber'selfie' 

Oleh kerana sibuk mencari tandas, tumpuan untuk menikmati keindahan hutan buluh itu terlupakan. Kerana itu saya tak tangkap banyak gambar di sini. 

Sehingga ke hujung lorong buluh itu kami masih tak jumpa tandas. Hanya setelah bertanya pada penarik lanca yang sedang berhenti rehat barulah kami bertemu tandas yang letaknya di kawasan deretan kedai di luar hutan buluh itu. 


Keindahan Taman Jepun dan Monumen Sejarah Kyoto Kuno


Dua Backpacker Ciput sejati ini terus berjalan kaki. Kali ini kami mencari stesen keretapi yang dipanggil Sagano Romatic Train. Dengan menaiki keretapi ini, kami berpeluang melihat keindahan sungai-sungai, gunung-ganang dan kampung-kampung. Untuk ke situ kami perlu menemukan Jambatan Togetsukyo dulu. Dalam perjalanan menuju ke kedua-dua destinasi itu, kami melalui Monumen Sejarah Kyoto Kuno. Kami sempat memasuki taman-taman di monumen sejarah itu, melihat-lihat bangunan kuno dan tangkap gambar.

Langit biru. Kepulan awan yang kecil-kecil berarak memenuhi angkasa raya. Mungkin hari akan hujan. Nun di kaki langit, terbentang Gunumg Arashiyama menyerikan lagi suasana yang sudah sedia indah. Bangunan-bangunan kuno zaman Edo dan Meiji terlihat kukuh. Dulu ia pernah dibina untuk dijadikan istana. Tetapi kemudiannya berubah peranan dan tujuan. Ia kemudian dijadikan kuil. Ada yang pernah terbakar. Dibaikpulih semula. Sekarang ia menjadi tinggalan sejarah yang dijulang warga Jepun dan mendapat pengiktirafan UNESCO.

Sebuah tempat pemujaan Kyoto Kuno yang di kelilingi taman





Ukiran tapak kaki pada batu



Bunga okid


Bangunan Kyoto Kuno
Keindahan bangunan Kyoto kuno dengan berlatarbelakangkan Gunung Arashiyama
Pintu gerbang sebuah taman
Taman di sebalik pintu gerbang
Teratai di dalam kolam Hojo-chi 
Bangunan kuno dalam kawasan Warisan UNESCO
Bangunan Warisan UNESCO. 

Setelah melihat taman-taman dan bangunan warisan Kyoto Kuno kamipun terus mencari Jambatan Togetsukyo dan Romantic Train.

Dapatkah kami berjumpa Jambatan Togetsukyo dan menaiki Romantic Train?  Dalam tulisan selanjutnya saya akan bercerita tentang itu. Nantikan kemunculan cerita itu dalam entri akan datang.


...bersambung  
                                                                                  
...baca entri akan datang di sini

[] Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (11): Membeli-belah, Fesyen Jalanan dan Dua Sungai di Arashiyama, Kyoto

Baca kisah sebelumnya melalui pautan di bawah ini: