Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 17 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (5): Menjejak Masjid Daowai dan Makan Jiaozi

Pada entri yang lepas saya ceritakan tentang Moscow di Timur iaitu pengaruh Russia yang ketara di Haerbin (Harbin). Pada entri ini saya akan ceritakan tentang masjid dan makanan Islam di Haerbin pula.

Setelah puas berjalan di kawasan yang meninggalkan pengaruh Russia itu saya dan Yaniepun bercadang untuk menjejak sebuah masjid dan makan tengahari di situ.

Dalam entri yang lepas saya tunjukkan gambarfoto jangkasuhu yang menunjukkan -18°C pada pukul 11.15 pagi di Haerbin. Tetapi untuk pengetahuan anda suhu itu hanya sebentar sahaja. Apabila pukul 1 petang suhunya turun kepada -20°C, kemudian semakin menurun kepada -22°C, -24°C, -26°C apabila hari semakin petang dan turun mendadak kepada -30°C pada waktu malam.

Jadi petang itu sebelum suhu turun dengan amat melampau di Kota Ais Haerbin saya dan Yanie gunakan untuk menjejak Masjid Daowai. Masjid ini terletak di Daerah Daowai, di Jalan Shisandao, Haerbin. Untuk memudahkan kami mencarinya kami menahan teksi di Jalan Zhongyang. Yanie tunjukkan alamat masjid itu dalam tulisan China kepada pemandu teksi. Pemandu itu menghantar kami melalui jalan raya yang agak sesak di Haerbin dan kenderaan di jalannya bergerak perlahan. Walau bagaimanapun dalam masa dua puluh minit kamipun sampai. Dari dalam teksi lagi kami sudah nampak menara masjid.

Masjid Daowai dari tepi jalan

Masjid itu letaknya di tepi jalan. Kami terpesona. Ia sangat besar dan dibina di kawasan yang luas. Binaannya juga menarik kerana terserlah ciri-ciri senibina Islam dengan bauran senibina China dan Russia.

Petang di Masjid Daowai pada musim sejuk 2013

Salji di atas bumbung dan kubah Masjid Daowai

Pagar depan Masjid Daowai. Dewan solat utama di hadapannya.

Setelah melihat-lihat dari luar pagar, kamipun masuk ke dalam kawasan pagar masjid mengikut pintu pagar belakang.

Kami mencari dewan solat wanita. Kami lihat beberapa orang Islam berjalan menuju ke satu bangunan kecil di dalam kawasan masjid itu. Yanie pergi menjenguk ke bangunan kecil yang ada orang itu. Tetapi Yanie mendapat tahu yang mereka semua menziarahi jenazah di situ.

Setelah bertanya, ada beberapa orang memberitahu kami supaya pergi ke dewan solat utama untuk solat. Dewan solat utama itu letaknya di tengah-tengah kawasan masjid dan betul-betul di hadapan pagar hadapan. Kamipun menjenguk ke dewan solat utama itu. Tidak ada sesiapa di dalam dewan solat utama itu.

Kami belum ada wudhu, lalu bertanya di mana tempat mengambil wudhu kepada beberapa orang yang lalu-lalang di luar dewan solat utama itu. Mereka menunjukkan ke arah sebuah bangunan bersebelahan dengan dewan solat utama itu.

Kamipun masuk ke dalam dewan itu. Kami dapati ada tangga menuju ke bilik atas. Di situlah tempat solat wanita. Dewan itu tiada ada orang. Kami mencari tempat mengambil wudhu di dalamnya tetapi tak jumpa-jumpa. Di dalam bangunan ini, kami dapati bahawa banyak ruangan dikepung dengan tabir. Kami menyelak tabir itu dan mendapati ia berselerak dengan barang-barang. Jadi kami menjangka bahawa tempat mengambil wudhu itu ditutup kerana sedang direnovasi.

Kemudian kami keluar untuk mencari tempat wudhu, tetapi semua bilik mengambil wudhu di kawasan masjid itu bertutup dan berkunci. Orang yang tadinya hadir di masjid menziarahi jenazah juga sudah tiada. Tinggallah kami berdua sahaja di masjid itu. Oleh kerana kami tidak berjumpa dengan tempat wudhu dan banyak bilik berkunci kamipun bercadang akan solat jamak di dalam bilik hotel sajalah.

Masjid Daowai ikut pagar belakang

Masjid Daowai dari sudut dekat

Masjid ini telah dibina pada 1935

Dewan solat utama

Bersebelahan dengan masjid itu terdapat kedai-kedai qingzhen (halal). Kebanyakannya kedai daging dan terdapat sebuah kedai makan. Di seberang jalan pula ada kedai roti halal. Jadi di sini kami dapat membuat kesimpulan bahawa orang Islam ramai tinggal di kawasan ini dan Islam tersebar luas di serata China.


Kawasan perniagaan Islam

Kedai-kedai halal bersebelahan Masjid Daowai


Makan Tengahari Dengan Jiaozi (Dumpling)


Kami singgah di sebuah kedai makan. Kedainya kecil sahaja, tetapi kami disambut dengan mesra oleh pemilik kedai itu yang berketurunan Hui. Seperti biasa peniaga Islam berketurunan Hui memakai ketayap putih di kepala dan pasti bertanya kami, "Datang dari mana? Orang Islam ke?" Setelah mengetahui kami orang Malaysia dan beragama Islam mereka sangat gembira. Pelanggan yang datang makan di situ juga senyum-senyum dan asyik memandang-mandang gelagat kami. Rasa malupun ada. Rasa seronokpun ada.

Kami memesan jiaozi. Anda pernah makan jiaozi? (dumpling).

Terdapat beberapa jenis jiaozi dan ia dipanggil berlainan nama mengikut cara ia dimasak. Yang direbus dipanggil shuǐjiǎo. Ia dihidangkan di dalam mangkuk dengan air rebusannya. Yang dikukus dipanggil zhēngjiǎo. Ia dicicah dengan kicap. Manakala yang digoreng dipanggul guōtiē. Ia boleh dimakan begitu sahaja.

Saya pernah belajar membuat jiaozi daripada Leah, kawan saya yang berasal dari Xian. Bahan-bahan untuk membuatnya amat mudah. Cuma tepung gandum yang dibancuh dengan garam dan air. Ia dibancuh dan diadun sehingga menjadi doh yang lembut dan boleh digentelkan menjadi bebola kecil. Doh yang telah menjadi bebola itu dibiarkan sebentar kira-kira 30 minit. 

Sambil itu intinya disediakan. Intinya juga mudah untuk dibuat. Intinya dibuat daripada sayur-sayuran (kobis, daun bawang, atau sayur kegemaran masing-masing), daging kisar, lada putih, bawang putih, halia, minyak bijan, kicap dan garam.

Semasa saya dan Yanie ke restoren halal di kawasan Islam di Haerbin ini kami dapat menyaksikan jiaozi dibuat. Ia dibuat di hadapan pelanggan di restoren itu.

Adunan dibualt-bulatkan menjadi bebola kecil

Doh yang menjadi bebola kecil itu dicanai nipis-nipis atau digelek menjadi kepingan bulat yang lebarnya kira-kira 3 inci


Inti daging dan sayur-sayuran diletakkan ke dalam adunan yang dicanai nipis tadi

Satu sudu besar inti diletakkan ke atas kepingan bulat yang dicanai nipis tadi

Tepi kepingan bulat tadi yang telah diisikan inti dicantumkan menjadi seperti bulan sabit.  Macam buat karipap, tetapi tepinya tidak dikelimkan. Cuma tekan-tekankan tepinya supaya melekat dan tidak terbuka. Air dicalitkan ditepinya supaya ia melekat

Jiaozi (dumpling) yang sudah sedia untuk dikukus/direbus/digoreng

Kamipun dihidang dengan sepinggan jiaozi yang panas dan enak. Ia baru sahaja dikukus dan kami makan dengan kicap.

Jiaozi yang sudah direbus dan sedia untuk dimakan. Yumm!

Jiaozi ini enak dimakan, berkhasiat dan mengenyangkan. Inilah makanan kegemaran di China. Saya juga amat gemar memakannya. Jadi kalau anda ke China jangan ketinggalan memakannya.


Beli Roti, Kek dan Biskut Halal


Sebelum pulang ke hotel kami sempat singgah di kedai kek halal di situ. Tuan punya kedai itu seorang lelaki Hui (pastinya Islam), amatlah peramah dan dia memberi kami makan beberapa biji biskut percuma. Seronoknya kami dapat merasa beraneka biskut halal China yang banyak dengan percuma. Peniaga kek ini sering bersyahadah dan menyebut beberapa ucapan dalam bahasa Arab yang diketahuinya.

Kedai kek, roti dan biskut halal

Roti cokolat berlapis-lapis yang dicadangkan oleh peniaga kedai kek ini untuk dicuba



Masalah Mendapatkan Teksi

 

Apabila sudah jumpa masjid, makan jiaozi, kenyang makan biskut percuma dan beli roti halal kamipun pulang ke hotel dan menahan teksi. Tetapi punyalah susah untuk mendapatkan teksi. Banyak sudah teksi yang kami tahan tetapi semua tidak mahu menghantar kami ke hotel. Dengan suhu yang terlampau sejuk, berdiri lama-lama di tepi jalan dengan jari-jari kaki yang mula hendak kebas, tentulah mencemaskan kami. Yanie menyuruh saya berteduh di bawah bumbung di hadapan sebuah kedai sementara Yanie menunggu di tepi jalan dan tidak jemu-jemu menahan teksi.

Akhirnya kami dapat satu idea, kami akan naik teksi sehingga ke Jalan Zhongyang. Kemudian dari Zhongyang kami akan mengambil teksi lain untuk ke hotel.

Banyak sudah teksi yang kami tahan, tetapi tidak berhenti. Saya berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan kami. Saya membaca surah Al-Fatihah dan Ayatul Kursi.

Tidak lama kemudian berhentilah sebuah teksi. Melihatkan kami orang Islam diapun dengan gembiranya memberitahu kami yang dia juga orang Islam (orang Hui). Kamipun sangat gembira kerana mendapat pemandu Islam. Dia berasal dari Lanzhou iaitu sebuah provinsi berdekatan dengan Inner Mongolia yang juga terdapat ramai orang Islam. Jadi mungkin dia sudi menghantar kami kerana melihatkan yang kami Islam dan dia juga orang Islam.

Pemandu Hui ini menghantar kami ke Jalan Zhongyang (Central Street). Di dalam teksi kami meminta kalaulah pemandu Hui itu boleh hantar kami ke hotel. Menurut pemandu itu teksinya tidak dibenarkan oleh undang-undang menghantar penumpang di kawasan  hotel kami itu. Dia hanya boleh mengambil dan menghantar penumpang di kawasan sebelah Jalan Zhongyang dan masjid tadi sahaja. Dia lalu menunjukkan kepada kami tempat untuk mengambil teksi ke hotel.

Setelah itu kamipun menahan teksi dari Jalan Zhongyang dan pulang ke hotel.

Pada hari itu kami dapat menimba pengalaman baru tentang Islam di Haerbin, makanannya, kemesraan sesama Islam dan sistem pengangkutan awam di Haerbin.

Teruskan bersama Naramas Aman backpack ke Kota Ais Haerbin dalam entri akan datang.

...bersambung



Baca kisah seterusnya  "Backpack ke Kota Ais Haerbin (6)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (2)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (3)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (4)" DI SINI



19 ulasan:

  1. Salam Yong

    Dumpling ni ada yang keme suka dan idok. bergantung pada inti dia tu..kali pertama cuba makan kat beijing dolu2 kala, ada yang kukus kot kalau tak silap....apa inti dia bubuh ntah..masuk jer mulut rasa nak keluor balik...tak tau nak buat camna..malu punye pasa terpaksa kunyah jugak...terkemut2 telan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Oh ye ke? Tapi teman suka bebenor dumpling ni. Amat sesuai dengan selera teman. Selalunya sedap-sedap belaka. Selama ini teman belum lagi dapat yang tak sedap.

      Padam
  2. Agak besar Masjid di situ menunjukkan komuniti Muslim yang ramai tinggal di Haerbin...

    Wah NA sedang menjawa-jawa pula sekarang ni ye...

    BalasPadam
  3. Mie,
    Masjid ini memang besar dan menandakan ramainya umat Islam di Haerbin, tetapi seperti biasa masjid di China selalu sepi, tak ramai yang mengimarahkan masjid.

    Menjawa-jawa? He he..saya sudah balik Malaysia. InsyaAllah akan saya kongsi kisah di Jawa pula setelah kisah China habis :)

    BalasPadam
  4. sedap tengok dumpling tu, selalu makan dekat johnny's alamanda jela, tapi biasa-biasa punya kot. yang ni siap dengan inti daging bagai, terliur jer rasa. unik pulak tengok design masjid campuran rusia dengan china ni, kalau bukan sebab ada bulan dengan kubah dekat atas tu, macam church pulak tengok...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Dumpling ni sedap. Menjadi kegemaran saya. Dumpling di Johnny's Alamanda itu tidak berinti ke? Saya belum pernah makan dumpling di Malaysia lagi. Nampak gayanya saya kena cuba.

      Orga rasa masjid ni macam church kalau tak ada bulan dan kubah? Ya, ciri-ciri cathedral memang ada pd bahagian atas atap masjid ni. Unik, kan?

      Padam
  5. Seronoknya dapat cuba menu yang enak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pertama kali makan jiaozi ni saya sudah suka. Lepas tu asyik nak makan jiaozi je.

      Padam
  6. Wah cantik sungguh senibina masjid Daowai tu. klassik
    Dan yang paling menggiurkan adalah kek coklat berlapis tu... memang nampak macam sedap!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Janggel/Rain,
      Masjid Daowai ni cantik, kan? Tapi sayang tak ramai orang datang mengimarahkannya.

      Janggel/Rain suka roti coklat berlapis tu ke? Rupanya memanglah cantik, berlapis-lapis dan unik bentuknya. Mula-mula akak ingat ia adalah kek. Tapi apabila makan akak dapati ianya roti bukan kek dan rasanya macam roti biasa je. Dumpling yang nampak tak cantik dan herot-benyot tu sebenarnya yang sedap he he he. Don't judge a book from its cover - nampaknya idiom ini boleh kita gunakan di sini :)

      Padam
  7. Wahhhhhhh

    Akak dah sampai harbein????? Oh maiii best nye...

    Mase tu pesta ais tu ade tak kak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. MasZuber,
      Ya, akak dah sampai Haerbin :) Memang best...sejuk giler! Pesta ais tu of course ada. MasZuber boleh baca entri yang lepas. Ada 2 entri pasal ice and snow sculpture tu. Cantik dan unik ukiran mereka.

      Padam
  8. terima kasih berkongsi info perjalanan seperti ini
    Shuntek dan menarik keaadaan tempat ini erk
    Tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. dilabangiWORLD,
      Terima kasih kerana sudi singgah, baca dan tinggalkan ulasan di blog ini :)

      Tempat ini cantik dan menarik, penuh dengan salji dan ais. Suhunya pun ekstrim sangat. Banyak ilmu yang telah saya timba di sini.

      Padam
  9. Salam Prof..

    Saya pernah nk wat sendiri dumpling..tp pelik plak jdnya..haaha. Dulu area Kota Damansara ni ada restoran yg betul dtg dr China dan halal..tp dah tutup sebab tak ramai org dtg. Saya suka mkn dumpling goreng kt situ. Bagusnya org islam kt china..betul2 bangga kalo jumpa org islam dari negara lain. Saya percaya prof sorang yang baik that y dibalas baik oleh orglain...prof tak snap gamba roti yg prof beli tu?? sama ke macam roti kt malaysia?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zila,
      Sebenarnya tak susah membuat dumpling. Macam buat karipap atau ravioli (pasta Itali). Malahan lebih mudah. Rupanya memang pelik dan tak cantik, tapi rasanya sedap dan berkhasiat.

      Yanie ada tunjuk gambar kat saya yang di Sungai Besi ada kedai yang sebijik macam di China ni, tukang masaknya pun diimport dari China. Katanya belakang balai polis. Bolehlah Zila pi try. Lam mien (mee tarik) ada dijual di situ.

      Biasanya orang Islam di China suka tengok kita datang ke kedainya, lebih-lebih lagi dia tengok kita pakai tudung, bagi salam kat depa, kadang-kadang depa mintak tangkap gambar sama.

      Semuanya dari Allah. Saya selalu berdoa sebelum keluar rumah supaya urusan saya dipermudahkan Allah dan bertemu dengan orang yang baik-baik.

      Saya tak snap gambar roti tu sebab roti tu sama je dengan roti yang ada kat Malaysia. Rasanya pun sama.

      Padam
    2. Nak tambah 1 hal lg..prof ni cam saya..mkn bukan sekadar mkn..sure exited nak tahu apa bahan2 digunakan..ada org mkn sekadar ckp..wah sedapnya tanpa peduli camner nk wat..hehehe..best kan?

      Padam
    3. Zila,
      Nanti kalau jumpa restoren halal China di Sungai Besi tu tangkaplah gambar & share di blog ni ya. Tapi saya tak berapa pasti exactly where it is about.

      Betul, betul, betul. Curious sangat. Kalau minat sangat dengan masakan itu saya belajar, masuk kelas. Saya minat memasak :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.