Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 25 Mac 2013

Banda Acheh (1): Iktibar dari Masjid-masjid Pasca Tsunami

Kali ini saya mengembara ke Acheh. Bertahun-tahun sudah saya ingin ke Acheh. Dahulu saya rasa Acheh ini terlalu jauh. Saya ada kawan Acheh, namanya Ira. Dia selalu ajak saya datang ke Acheh. Tapi tidak pernah-pernah sampai. Ira adalah kawan saya semasa kami sama-sama menuntut di Monash University Australia. Ira dan keluarganya pernah datang ke rumah saya di Penang tetapi saya tidak pernah membalas kunjungan mereka itu. (Anda boleh imbas kembali sahabat saya Ira ketika di Australia dengan mengklik di sini).

Ingatkah anda pada Salwa? Salwa ialah sahabat saya yang bersama-sama saya ke Kashgar dan Urumqi dahulu? Beberapa bulan yang lalu saya dan keluarga saya diajak oleh sahabat saya Salwa ke Acheh.

Tetapi sayang semasa kunjungan saya ke Acheh saya tidak dapat berjumpa Ira kerana Ira berada di Jerman melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.




Kami ke Acheh menaiki Fire Fly dari Pulau Pinang. Tak jauh sebenarnya perjalanan kami itu. Sebaik-baik sahaja habis minum segelas air dan secawan mee segera yang dijual RM3.00 dalam pesawat kamipun sampai. Tak sempat panaspun tempat duduk kami! Penerbangan memakan masa cuma 1.5 jam sahaja! Alahai...barulah saya sedar yang Acheh ini dekat bebenor dengan Penang. Malahan lebih dekat Acheh dari Penang berbanding kampung saya di Kuala Kangsar :)

Perjalanan dari Pulau Pinang ke Acheh adalah mudah - direct flight - terus sampai ke Banda Acheh. Tidak seperti semasa Ira datang ke rumah saya beberapa tahun dahulu, Ira perlu ke Medan dahulu, kemudian dari Medan Ira kena naik pesawat dari Medah ke Pulau Pinang pula.

Dari atas kapalterbang kami dapat melihat pemandangan kampung-kampung yang berdekatan dengan Banda Acheh. Kelihatan tanah-tanah sawah yang luas, lapang tetapi tidak ditanami. Pada mulanya saya tertanya-tanya, mengapa tanahnya tidak ditanami atau diusahakan dengan pertanian? Selepas berada di Acheh selama 3 hari barulah saya mengetahui sebabnya. Ini disebabkan oleh ombak tsunami 2004 yang lalu telah menimbunkan dan meninggalkan pasir laut pada tanah-tanah sawah. Jadi itulah sebabnya ia tidak dapat diusahakan untuk pertanian padi.

Bagaimanakah keadaan Acheh selepas 8 tahun dibaham Tsunami? Datangnya saya ke Acheh setelah 8 tahun tragedi tsunami yang paling dasyat dalam sejarah Indonesia memberi informasi terkini di dalam kamus hidup saya.

Kami sampai di lapangan terbang Banda Acheh dengan selamat dan melalui imigresen dengan mudah.

Lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Acheh


Melihatkan lapangan terbang Sultan Iskandar Muda yang cantik dengan kubah di atasnya dapat mencerminkan Banda Acheh sudah berkembang maju dan telah bangkit.

"Ia simbol kepada pintu Acheh, pintu dunia," kata Mahlizar pemuda Acheh yang menyambut kami di situ.

Acheh letaknya di Pulau Sumatra. Di sebelah kanannya Selat Melaka dan di sebelah kirinya ialah Lautan India yang luas. Manakala ia berjiran dengan Medan. Banda Acheh adalah ibukota Acheh.

"Acheh mempunyai 23 daerah dan 18 Kabupaten. Terdapat 4.6 juta penduduk di Acheh. 95 peratus daripadanya adalah Islam," jelas Mahlizar di dalam bas ketika menuju ke tanah perkuburan korban tsunami 2004.


Monumen Tsunami Kuburan Massal Siron

 

Di sinilah bersemadinya 46,718 nyawa korban tsunami 2004


Selalunya kalau saya kembara ke mana-mana destinasi buat pertama kali, saya mesti cari hotel dahulu. Tetapi tidak di Acheh. Sesampainya kami di Banda Acheh, kami terus melihat tanah perkuburan mangsa-mangsa tsunami yang meragut ribuan nyawa pada 26 Disember 2004. Tanah perkuburan ini letaknya di Jalan Bandara Sultan Iskandar Muda, Gampong Siron, Kecamatan Ingin Jaya, Kabupaten Acheh Besar.

Kami lihat tanah perkuburan itu hanya ditumbuhi rumput-rumput hijau dan sedikit batu nisan. Di sinilah 46,718 nyawa para syuhada dikebumikan sekaligus dalam satu kubur. Ingat tak perkebumian jenazah ini yang ditunjukkan di televisyen dan surat khabar serta internet? Oleh kerana jenazah ini terlalu ramai dan sukar menguruskannya, maka sebuah jentolak telah digunakan untuk memasukkan jenazah-jenazah ini ke dalam lubang kubur sekali gus dan ada yang dicampak-campakkan. Walau bagaimanapun mereka ini adalah orang yang mati syahid.

Kelihatan jenzah-jenazah ditolak dan dicampakkan ke dalam lubang kubur. Gambar ini dipetik dari http://www.geocities.ws/cryforindonesia/tsunami018.jpg

Saya ada membaca hadis-hadis yang meriwayatkan bahawa orang yang mati syahid itu ada pelbagai sebab. Jabir bin ‘Atik meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:  

Syahid itu ada tujuh selain daripada peperangan di jalan Allah; mati kerana taun adalah syahid, mati kerana lemas adalah syahid, mati kerana penyakit bengkak di sebelah badan adalah syahid, mati kerana penyakit dalam perut adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana runtuhan (tertimbus) adalah syahid, dan seorang wanita mati dengan kandungannya adalah syahid. (Riwayat Abu Daud).

 

Pantai Lhok Nga


Selepas melawat makam para syuhada itu kami pergi melihat pantai yang cantik di Acheh iaitu Lhok Nga. Di sini saya dapat menyaksikan keindahan air lautnya yang biru. Amat indah sekali. Terdapat ramai orang duduk bersantai-santai di tepi pantai ini sambil berbual-bual dengan kawan-kawan dan menikmati jagung bakar yang banyak dijual di tepi jalan.

Keindahan pantai ini amat menenangkan jiwa saya. Tidak berapa jauh dari pantai ini iaitu di seberang terdapat sebuah pulau yang bernama Sabang. Untuk ke Sabang kita perlu menaiki bot dan perjalanannya memakan masa kira-kira sejam.

"Sabang lebih indah dari Bali," kata Mahlizar.

Saya setuju dengan kata-kata Mahlizar walaupun saya tidak pernah ke sana. Saya yakin ia lebih indah dari Bali cuma Sabang kurang mendapat promosi. Bali sudah terlebih-lebih promosinya. Padahal Sabang yang jauh lebih indah tidak diketahui ramai. Saya juga pernah mendengar tentang keindahan Sabang ini dari sahabat saya Ira dan ibunya ketika keluarga Acheh ini menziarahi saya di Pulau Pinang.

Kami tidak ke Sabang pada masa itu kerana ia tidak termasuk dalam senarai lawatan kami. Saya harap pada suatu hari nanti saya dan keluarga dapat ke Sabang dan menikmati keindahannya.

Penulis terpersona dengan keindahan pantai Lhok Nga

Penduduk Acheh bersantai pada waktu petang di Pantai Lhok Nga yang indah

Sebuah kampung nelayan yang pernah ditenggelami tsunami


Banyak cerita yang saya dengar tentang tsunami. Walaupun tsunami di Acheh amat dasyat namun banyak keajaiban berlaku. Banyak masjid di negeri yang mendapat jolokan serambi Mekah ini terselamat. Kami kemudiannya pergi melihat masjid-masjid yang terselamat itu. Untuk melihat masjid-masjid itu kami melalui kampung-kampung, pekan-pekan dan kawasan pinggir pantai.

 

 

Masjid-masjid yang Terselamat dari Gempa dan Tsunami 2004

 

1. Masjid Rahmatullah di Lampuuk


Kami kemudiannya ke Lampuuk di Kabupaten Lhok Nga. Lampuuk adalah sebuah desa di baralaut Banda Acheh. Ia adalah sebuah desa pinggir pantai. Oleh kerana ia dekat benar dengan pantai maka, bangunan-bangunan di sini telah hancur musnah dan disapu bersih oleh tsunami 2004 yang dasyat itu. Desa ini telah menjadi padang jarak padang terkukur. Walaupun ombak tsunami itu terlalu dasyat dan meranapkan bangunan-bangunan di situ, dengan kuasa Allah cuma ada sebuah sahaja bangunan yang terselamat daripada ombak tsunami. Bangunan itu ialah rumah Allah -- Masjid Rahmatullah namanya.

Masjid Rahmatullah yang kukuh

Masjid Rahmatullah telah dibina pada tahun 1991. Ia terletak 500 meter dari pinggir pantai. Semasa peristiwa tsunami 2004 air laut telah menenggelamkan masjid ini sehingga ke bumbung tetapi ia tidak runtuh. Di Lampuuk ia adalah satu-satunya bangunan yang terselamat dari bencana tsunami. Masjid ini tersergam indah dan kukuh.

Kelihatan Masjid Rahmatullah berdiri kukuh sejurus selepas kejadian tsunami 2004. Tidak berapa jauh darinya adalah laut. Di sekeliling masjid ini adalah perkampungan Lampuuk yang telah menjadi padang jarak padang terkukur. Gambar ini saya ambil di ruangan pameran di dalam Masjid Rahmatullah yang mana di dalamnya terdapat gambarfoto-gambarfoto kesan tsunami yang dipamerkan untuk tatapan generasi akan datang.


Kami melihat-lihat sekeliling masjid itu dari luar. Pada sebahagian dinding luar masjid ini terdapat retakan akibat pukulan ombak tsunami.


Retakan akibat ombak tsunami pada dinding di bahagian luar Masjid Rahmatullah

Bahagian dalam masjid yang rosak dan pecah



Apabila kami masuk ke dalam masjid kami dapati sebahagian masjid ini rosak dan ada tiang masjidnya yang pecah dan hampir tumbang. "Ia ditinggalkan tanpa diperbaiki. Mengapa?" tanya saya.  "Ini sengaja dibiarkan untuk memperingati tragedi tsunami dan menjadi bahan bukti peristiwa yang bersejarah itu," jelas Mahlizar yang pernah dihanyutkan tsunami 2004 itu, menyabung nyawa kerana tidak tahu berenang lalu tersangkut di atas bumbung sebuah rumah, tetapi terselamat.

Bangunan bersebelahan Masjid Rahmatullah yang telah dibina semula

Kami kemudiannya melihat-lihat kawasan perkampungan di sekeliling masjid itu. Dahulunya tiada bangunan yang tinggal di sini kerana dipunahkan oleh ombak tsunami. Tetapi kini rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang telah ranap oleh tsunami itu telah didirikan semula oleh kerajaan Turki. Seluruh kampung itu kelihatan baru. Rumah-rumahnya besar. Namun banyak rumah-rumah ini tidak dihuni. Kerana penghuninya tiada di situ. Bukankah mereka telah mati syahid? Waris-warisnya ada yang berpindah. Jadi ironinya, mengapa kerajaan Turki terus membangunkan kawasan ini? Ada sesiapa yang tahu jawapannya? Ada udang di sebalik meekah? Cuba kita renungkan dengan mendalam.


2. Masjid Baiturrahman di Ulee Lheue


Kami kemudiannya pergi ke Masjid Baiturrahman di Ulee Lheue. Ia juga adalah bangunan yang terselamat dari bencana tsunami. Ulee Lheue adalah sebuah desa pinggir pantai yang berada di Kecamatan Meuraxa, Banda Acheh.


Masjid  Baiturrahman Ulee Lheue 2012


Asal nama Masjid Baiturrahman Ulee Lheue ialah Masjid Ulee Lheue. Ia adalah peninggalan Sultan Acheh pada abad ke-17. Mengikut sejarah, Acheh tidak pernah dijajah Belanda tetapi Belanda pernah cuba untuk merampas Acheh berkali-kali. Belanda pernah membakar Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di Banda Acheh pada tahun 1873. Apabila Masjid Raya Baiturrahman itu dibakar, jemaah masjid terpaksa melakukan solat Jumaat di Masjid Ulee Lheue ini. Dan sejak itu namanya menjadi Masjid Baiturrahman.

Di dalam masjid ini terdapat gambarfoto-gambarfoto peristiwa bencana tsunami Acheh 2004. Melalui gambarfoto ini kita dapat melihat keajaiban Allah, iaitu Masjid Baiturrahman ini sahajalah satu-satunya bangunan yang terselamat dan berdiri megah, manakala bangunan-bangunan yang berada di sekeliling masjid ini habis ranap.

Kini di sekeliling masjid ini telah ada rumah-rumah dan kedai-kedai yang telah didirikan semula hasil sumbangan dari pelbagai pihak, terutamanya NGO dari luar negara.


Kedai-kedai dan rumah-rumah bersebelahan Masjid Baiturrahman Ulee Lheue yang telah didirikan selepas tsunami 2004

Papan tanda amaran bahaya tsunami


3. Masjid Raya Baiturrahman di Banda Acheh


Melihatkan agungnya kekuasaan Allah yang memelihara rumahNya, kami terus melihat sebuah lagi bangunan yang terselamat dari diluluhkan oleh ombak tsunami yang garang dan berlaku dengan sekelip mata itu. Kami ke Masjid Raya Baiturrahman pula.

Masjid Raya Baiturrahman letaknya di pusat kota Banda Acheh. Masjid ini mempunyai sejarah dan telah dibina pada tahun 1022 oleh Sultan Iskandar Muda. Ramai yang mempercayai bahawa ia telah dibina lebih awal daripada itu oleh Sultan lain. Masjid ini pernah dibakar sebelum ini oleh Belanda ketika ingin menjajah Acheh tetapi ia telah dibina semula. Kubah yang terdapat di atas masjid ini pada mulanya hanya satu tetapi ditambah dari masa ke masa. Sehingga kini ia mempunyai 7 kubah. Masjid ini mempunyai senibina yang indah dan luas. Ia mempunyai ciri-ciri senibina Moghul India Utara.

Masjid Raya 2012


Ketika tsunami melanda sebahagian Acheh, ramai yang berlindung di masjid ini. Masjid ini mengalami sedikit keretakan dan ia terselamat dari diranapkan oleh tsunami. Menurut cerita orang Acheh, ketika kejadian tsunami itu, ombak yang ganas dan tinggi menggulung itu tiba-tiba tunduk, sujud apabila menghampiri kawasan masjid ini dan mengganas semula apabila berada jauh dari kawasan masjid ini. MasyaAllah!

Inilah Masjid Raya sejurus selepas kejadian tsunami 2004. Ia berdiri kukuh. Di sekeliling masjid ini kelihatan kayu-kayu dan papan-papan bangunan yang musnah dipukul ombak. Gambar ini diambil ketika mengunjungi pameran kesan tsunami di salah sebuah masjid di Acheh

Sahabat Acheh saya Ira pernah menceritakan bahawa dia terlibat dalam kejadian tsunami 2004 itu. Ketika itu dia berada di Banda Acheh dan berjalan kaki, tiba-tiba dia terdengar orang ramai menjerit, "Air laut naik! Air laut naik!" Mendengarkan jeritan itu dan melihatkan orang ramai lari, dia turut lari menyelamatkan diri. Ketika itu dia lihat ombak setinggi gunung menerpanya dengan ganas dari belakangnya. Menurutnya kejadian air laut yang naik itu berlaku dalam sekelip mata tidak sampai 5 minit. Kata Ira lagi ramai orang masuk ke dalam Masjid Raya untuk menyelamatkan diri termasuklah yang bukan Islam dan akhirnya orang itu memeluk Islam setelah terselamat.

Saya banyak mendengar kisah-kisah dari orang Acheh sendiri yang menceritakan bahawa ketika kejadian itu pelbagai cara kematian manusia ditunjukkan. Ada yang mati dengan berpakaian menutup aurat (memakai telekung) dan keadaan tubuh badannya sempurna dan bersih tanpa luka-luka. Dikatakan, ketika hayatnya beliau adalah seorang yang suka beribadat. Sebelum kejadian tsunami ini banyak persitiwa pergaduhan dan pembunuhan berlaku di kalangan orang Acheh sendiri dan maksiat berleluasa di sini. Namun setelah tsunami 2004, semua itu sudah tiada lagi. Acheh kini aman dan maju dan dijadikan tempat lawatan (pariwisata).

Sila lihat  Video Tsunami 2004 di bawah ini. Dalam video ini kita boleh lihat betapa dasyatnya terjangan tsunami, kemusnahan yang berlaku dan kelihatan ramai orang berlindung di Masjid Raya ini dan terselamat.


Begitulah hebatnya kebesaran Allah. Ia jelas nyata. Seluruh dunia mengetahuinya. Tetapi mengapa kita masih tidak insaf?

Masjid-masjid pasca tsunami yang masih hebat dan kukuh ini amat menghairankan, walhal masjid-masjid ini letaknya beberapa meter sahaja dari pantai. Kalau difikirkan logik, sudah tentu masjid ini telah lama ranap dan disapu bersih oleh amukan ombak yang berkelajuan 300 kilometer sejam dengan ketinggian 30 meter itu. Kejadian ajaib ini menginsafkan saya. Ia mengajak kita kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan itu adalah masjid dan itu adalah Rumah Allah. Kembalilah kita kepada azali kita walaupun kita sudah jauh tersesat.

Bagi saya, walau sebesar dan sedasyat mana bencana yang Allah tunjukkan kepada kita, kalau hati masih buta dari memahami kekuasaan Allah maka titik-titik hitam akan tumbuh di hati kita, semakin lama semakin banyak lalu menutup hati kita sehingga hati kita menjadi batu hitam yang keras dan tidak bisa digilap lagi.

...bersambung


29 ulasan:

  1. sayu saya baca citer ni kak, terasa rendah diri sangat. sekuat mana pun kita, kepada Dia jugak kita kembali...tetapi, kagum jugak dengan masyarakat yang masih berada di sini, walaupun diorang tau berkemungkinan tsunami akan datang lagi, still stay jugak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Orga,
      Kampung halaman sendiri itu adalah tempat yang lebih baik. Sifat cintakan kampung halaman adalah anugerah Allah, jadi walaupun kampung halaman seseorang itu diketahui bakal ditenggelami lagi, manusia biasanya sanggup bergadai nyawa. Meninggalkan kampung halaman bukannya mudah. Rasullullah SAW sendiri terpaksa meninggalkan tempat kelahirannya Mekah apabila baginda perlu berhijrah ke Madinah. Itu bukan perkerjaan yang senang.

      Padam
  2. Kalau ikutkan logik, patutnya masjid-masjid tu pun ikut musnah, tapi kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Itu pun masih ada manusia yang bertuhankan benda2 yang mengarut...

    * mengapa ada lagi word verification tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,

      Banyak sudah contoh masjid yang terselamat dari bencana alam, bukan saja di Acheh tetapi di negara lain.

      Manusia biasanya gerun/insaf sekejap apabila malapetaka berlaku padanya. Tetapi apabila malapetaka itu sudah reda dan telah lama berlalu, manusia kembali kepada tabiat lama. Manusia mudah lupa dan lalai.

      Saya letakkan semula word verification kerana saya menerima terlalu banyak spam dalam ruangan ulasan. Semuanya mengarut belaka. Jadi saya ambil langkah keselamatan supaya blog ini panjang hayatnya :).

      Padam
  3. Maha Kuasa Allah atas segalanya....teringin jugak kalau ada rezeki untuk ke Aceh nii..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Tak jauh Acheh ni. Sepenanak nasi je :)

      Padam
  4. Subhanallah, terasa teringin nak ke Acheh. Baca cerita Kak NA je dah buat saya teruja. Ibu saya juga akan ke Acheh nanti, jeles dengan ibu hehehe. Kalaulah dapat tengok gambar sekali sambil baca cerita Kak NA kan best. takpe nanti saya tengok gambar di rumah. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Janggel/Rain,
      Pergilah teman ibu ke Acheh :)

      Kak NA rasa internet di pejabat Rain sekat/tapis gambar di blogspot :(

      Di rumah nanti Rain tengok sekali lagi ya. Melalui gambarfoto lebih memberi kesan di jiwa :)

      Padam
    2. Alhamdulillah saya dah dapat tengok gambar... sangat menginsafkan.

      Padam
  5. dah lama teringin ke Acheh tetapi rezeki masih takde utk ke sana huhuhu..sayang gambar2nya tak kelihatan, sekadar mampu membaca pengalamannya sahaja...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Zilla,
      Terima kasih kerana memaklumkan yang gambarnya tak kelihatan.

      Mungkin disebabkan saya upload gambar-gambar ini semasa saya di China.

      Sebentar tadi saya dah upload gambar ini semula.

      Cuba Zilla tengok semula, mungkin kali ini Zilla dah boleh tengok gambar-gambarnya :)

      Padam
    2. Akhirnya dapat juga saya lihat gambar2nya..terima kasih byk..apa yang berlaku adalah satu tanda peringatan terhadap kita semua, kan kak?

      Padam
    3. Akhirnya Zilla dapat tengok gambar, huh lega saya :)

      Ya, tragedi itu satu peringatan supaya kita tidak lupa Allah.

      Padam
  6. Seronok dapat ke Banda Acheh, dah lama saya teringin nak keliling Pulau Sumatera, kalau boleh menaiki feri dari Pulau Pinang ke sana, tapi masih tidak ada berkesempatan.

    Mungkin belum tiba masa utk saya keluar mengalas backpack buat masa ini.

    Dah lama saya tak masuk membaca blog rakan2, sebab blog saya pun saya tak bukak sebab tak da story menarik...

    Harap Naramas sihat2 ok

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum Andaque!
      Dah lama bebenor tak dengar khabar dari Andaque. Ulasan Andaque ini membuat saya tersenyum kerana gembira.

      Saya doakan Andaque sihat dan berbahagia dengan keluarga. Saya di sini alhamdulillah. Dah balik Malaysia setelah 9 bulan di China :)

      Feri dari Penang ke Medan dah tak ada. Dulu saya pernah naik feri ke Medan. Kalau Andaque hendak ke Acheh kenalah tumpang kapal orang Acheh yang berniaga membawa barang dari Acheh ke Penang.

      Andaque boleh jadikan cerita di tanahair sendiri dengan cara yang menarik dan tersendiri. Ipoh pun banyak yang boleh diceritakan :) Banyak yang saya tidak tahu pasal Ipoh.

      Padam
  7. Assalamualaekum Kak Ani,
    Senang membaca tulisan Akak mengingatkan kembali kenangan lama, sungguh indah dan mengesankan. I wished I would be there saat akak visit Banda Aceh. Insya Allah lain waktu, boleh kembali ke Aceh, kita boleh visit Sabang. A jewel in Aceh. Terima kasih dah forward link ini. I miss you semoga kita boleh berjumpa lagi.

    Salam,
    Ira

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Ira!
      Gembira dan senang sekali saya menerima ulasan Ira ini :). Terima kasih banyak-banyak Ira! Saya selalu teringatkan Ira. Sayang sekali Ira tidak ada di Acheh ketika saya di sana. InsyaAllah kalau Ira sudah tamat pengajian di Jerman dan pulang ke Acheh, saya boleh datang lagi, saya ingin sekali ke Sabang yang indah bak permata itu. Ingin sekali berjumpa dengan ibubapa Ira. Salam rindu buat Ira dan keluarga.

      Padam
  8. masha Allah... ombak tunduk sebelum menimpa masjid? Allahuakbar...!! sy share di FB boleh tak cerita akak ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zette,
      Memang hebat kekuasaan Allah. Kalau tengokkan video tsunami yang di atas ni, nampak jelas arus ombak yang deras itu mengheret kenderaan, pokok-pokok, kayu, harta benda tetapi yang berlindung di masjid, terselamat.

      Silakan share d fb cerita ini :)

      Padam
  9. kalau dapat pergi dan lihat dengan mata sendiri tentunya memberi seribu keinsafan pada diri ini betapa kerdil kita di sisi Allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu. Melihat sendiri lebih meninggalkan kesan di jiwa.

      Bila Azmatun nak bagi alamat? Saya nak poskan hadiah itu. Azmatun tak mahukah hadiah yang menang hari itu? Saya tunggu ni.

      Padam
  10. Salam Yong

    Sebak keme tengok gambor2 tu...tiada kata2...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

      Padam
  11. Naramas Aman

    Saya balas disini sebab line slow tak boleh nak balas dibawah komen diatas tu hehehe...

    Ya betul maybe saya boleh buat entry tentang Ipoh tapi tu lah kena ada minat nak menulis, buat masa ni entah kenapa saya tak ada idea nak menulis, pada hal rumah yang saya tinggal ni berdekatan sangat dengan beberapa buah Gua yang sememangnya antara tarikan pelancung luar negara.

    Dah balik Malaysia..alhamdulillah..insyaallah kalau saya tak menulis pun saya akan singgah2 disini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Andaque,
      Ceritalah di mana gua-gua tu. Siapa lagi nak cerita kalau bukan orang Ipoh sendiri. Saya selalu ke Ipoh tapi tak pernah ke gua-gua tu sebabnya tak cukup informasi. Kurang orang menulis tentangnya.

      Padam
  12. Assalam akak;

    Bole mintak contanct no supir masa kt sana x? InsyaAllah bln 12 nnt saya ke sana bersama keluarga. Teringin melihat keajaiban Acheh dgn mata kepala sendiri. Sekarang sedang kumpul info ttg Acheh. Semoga dipermudahkan. InsyaAllah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Muja Mujahadah,
      Sila hubungi Mahlizar Zakaria di facebook beliau untuk dapatkan supir. Mahlizar adalah tourist guide saya masa di sana.

      Padam
  13. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Mohon maaf pada Tuan/Puan untuk boleh iklan sedikit disini, semoga kebaikan hati Tuan/Puan untuk memberi izin iklan ini, menjadi amal ibadah disisi Allah SWT hendaknya amiin….

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

    Contact person : Amsyahril
    Mobile : +6285263007445
    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.


    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.