Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 22 April 2012

Melbourne: Tips Memilih Rumah Sewa

Kalau anda ingin tinggal lama di Melbourne samada untuk belajar, bekerja, menjalani latihan/kursus, menjalani cuti sabatikal, atau apa sahaja tujuan anda, anda mungkin menghadapi masalah untuk mencari rumah sewa. Tambahan pula anda pertama kali ke Melbourne.

Anda boleh menghubungi universiti atau organisasi anda di Melbourne untuk membuat tempahan bilik/rumah sewa sebelum anda sampai ke Melbourne. Anda perlu membayar duit pendahuluan atau duit bond kepada mereka terlebih dahulu untuk menjamin anda ada rumah. Cara ini baik kerana anda tidak bimbang tentang ketiadaan tempat tinggal. Namun disebakan anda melihat ia melalui internet atau melalui gambar-gambar dari jauh tanpa hadir melihat sendiri maka tempat ini mungkin tidak sama sebagaimana yang anda sangkakan. Kalau anda sudah tinggal di situ dan anda dapati ia tidak menyenangkan anda, anda terpaksa bersabar selama setahun kerana kebiasaannya perjanjian sewa rumah adalah setahun.

Saya cadangkan supaya tinggal dahulu di rumah sementara sebelum berpindah ke rumah yang benar-benar sesuai dengan anda. Anda boleh cari dalam enjin carian dengan menaip short term accommodation. Rumah begini biasanya memberi anda tinggal dalam seminggu hingga tiga bulan. Kebiasaannya universiti atau organisasi yang anda masuki itu ada menyediakan perkhidmatan ini. Apa yang perlu anda lakukan ialah menghubungi pihak International Affairs universiti/organisasi berkenaan.

Semasa saya mula-mula ke Melbourne dahulu, saya tidak kenal sesiapa, namun begitu saya menghubungi pihak International Office di Monash University dan bertanya tentang tempat tinggal sementara. Pihak International Office itu telah menyediakan saya tempat tinggal sementara sehinggalah saya mencari rumah sewa yang sesuai dengan saya. Bayarannya ialah AUD80.00 (RM240.00) sehari dengan rumah dua tingkat full furnished, 2 bilik, 1 bilik air, 1 ruang tamu, 1 dapur lengkap dengan meja makan, dapur dan oven, peti sejuk, toaster, pinggan mangkuk, periuk belanga, alat pencuci, mesin basuh, televisyen, telefon dan bilik stor. Walaupun saya boleh tinggal sehingga 3 bulan, namun saya tinggal di rumah ini 10 hari sahaja kerana saya sudah dapat rumah sewa yang sesuai.

Inilah short term accomodation kami pada mula-mula kami sampai di Melbourne.

Selain daripada itu anda juga boleh menginap di Dewan Malaysia sebagai transit anda sehinggalah anda mendapat rumah sewa yang sesuai untuk anda. Kebaikan tinggal di Dewan Malaysia ialah anda dapat berkenalan dengan siswa yang belajar di Melbourne dan dapat menyewa dengan harga yang amat murah. Sila klik laman web ini untuk membuat permohonan.

Di sini saya berikan tips mencari rumah sewa di Melbourne :

1.  Pilih Ejen Rumah Sewa (Real Estate) yang Sudah Kukuh


Pilihlah agen Real Estate yang sudah kukuh (establish) seperti Real Estate House, MacDonald Real EstateL.J. Hooker Real Estate, Ray White Real Estate, McLennan Real Estate dan Barry Plant. Real Estate begini lebih efisyen, menggunakan undang-undang perumahan dan tidak bimbang dianiaya. Dalam laman web Real Estate yang dipautkan tadi anda boleh mengetahui polisi menyewa, harganya, lokasinya, keadaan dalam rumah dan juga anda boleh lihat gambar rumah-rumah yang hendak disewakan.

Pejabat L.J Hooker, ejen rumah dan hartanah


2. Pilih Rumah Yang Lokasinya Berdekatan dengan Stesen Keretapi


Kalau tidak ada kenderaan, sewalah rumah yang berdekatan dengan stesen keretapi. Stesen keretapi ada di setiap pekan/suburb di luar Melbourne CBD. Stesen keretapi amat mudah dinaiki, jadual perjalanannya kerap dan tiketnya boleh digunakan untuk menaiki bas juga. Untuk mudah melihat rumah sewa  mengikut lokasi sila klik di sini.


Iklan di stesen keretapi di Melbourne


3. Pilih Kontrak Perjanjian Sewa Rumah untuk Setahun


Pilihlah rumah yang lease (kontrak) sewaannya setahun. Dengan memilih lease begini anda tidak perlu bimbang sekiranya disuruh keluar oleh tuan rumah. Ini disebabkan tuan rumah akan membayar gantirugi/membayar semula deposit kepada anda, sekiranya dia menyuruh anda keluar dalam tempoh lease itu. Biasanya dia memberi anda cukup tempoh untuk anda mendapatkan rumah baru, sekurang-kurangnya 3 bulan untuk mencari rumah lain. Sekiranya lease sudah hampir tamat anda boleh memperbaharuinya dan hendaklah memaklumkan ejen dalam masa 1 bulan. (Tetapi semak syarat ini mengikut agen. Setiap agen mempunyai syarat yang berbeza)

Sekiranya anda hendak keluar sebelum tempuh lease tamat, anda hendaklah mencari penyewa lain. Kalau anda keluar tanpa orang lain menggantikan anda, anda perlu membayar sewanya walaupun anda tidak tinggal lagi di situ. Selagi tiada penyewa baru, selagi itu anda perlu membayar sewanya. Deposit sebulan sewa pun hangus! Kemudian anda dikenakan denda untuk membayar kos iklan. Untuk maklumat lanjut sila klik sini untuk mengetahui syarat-syarat menyewa yang sering diamalkan. (Sila semak syarat-syarat ini untuk ejen yang berlainan. Setiap ejen mempunyai syarat yang berbeza).

4. Pilih Rumah yang Guna Sumber Tenaga Gas


Pilihlah rumah yang menggunakan gas untuk dapur dan heater. Ini menjimatkan kos bayar bil bulanan, terutama sekali pada musim sejuk. Pada musim sejuk heater lebih lama digunakan dan kadar bayaran bil elektrik pada musim sejuk lebih mahal. Bil elektrik pada musim sejuk boleh mencecah RM1,000.00 sebulan!

5. Apartment


Kalau universiti/organisasi anda terletak di tengah-tengah kota Melbourne, pilihlah apartment. Tidak perlu beli kereta. Jalan kaki atau guna basikal. Kotaraya Melbourne menggalakkan komunitinya menggunakan basikal. Tempat letak basikal disediakan di merata-rata tempat. Basikal juga boleh dibawa naik keretapi. Saya selalu buat begini, bawa basikal naik keretapi. Lorong-lorong basikal juga disediakan. Penunggang basikal diwajibkan memakai topi keledar. Lampu hendaklah dipasang ketika hari gelap.

Jalan kakipun senang, kerana boleh ambil tram City Circle yang percuma itu untuk ke universiti yang terletak di tengah-tengah kota raya Melbourne. Antara universiti yang terletak di tengah-tengah kota Melbourne ialah RMIT dan Melbourne University.

Sekiranya tinggal di apartment, parking lot diberi kepada setiap penghuni. Sekiranya tidak menggunakan kereta, maka parking lot itu disewakan kepada orang. Duit yang dapat, boleh bayar sewa rumah.


6. Kenali Jenis House atau Unit atau Granny Flat


Istilah rumah yang digunakan di Melbourne berbeza dengan istilah yang kita gunakan di Malaysia. Kebiasaannya di dalam iklan anda akan menemui istilah demikian. Jadi anda hendaklah mengetahui maknanya.

House bermaksud rumah sebuah yang didirikan di atas tanah lot yang biasanya mempunyai halaman depan dan belakang serta mempunyai garaj.

House ini terdapat di kawasan perumahan saya


Unit bermaksud rumah yang berkembar dua. Ia dibina di atas tanah lot yang sama dan berkembar dengan rumah lain. Biasanya ia mempunyai halaman belakang dan depan masing-masing. Biasanya berpagar.
Contoh Unit (Dual Unit)

Granny Flat pula ialah rumah kecil yang dibina di bahagian belakang rumah utama (rumah sebuah) atau dibina berasingan dalam satu tanah lot rumah. Ia biasanya dibina untuk warga emas yang sudah bersara.
Contoh Granny Flat

Sebuah unit


7. Tengoklah Rumah Dahulu Sebelum Masuk


Anda mestilah tengok dahulu rumah yang hendak disewa sebelum masuk. Ini adalah syarat kemasukan. Tidak boleh tengok dalam internet/gambar sahaja. Tanpa melihat sendiri anda tidak dibenarkan menandatangai perjanjian sewa rumah.

8. Ketahuilah Syarat-syarat Menyewa Buat Pertama Kali


Anda hendaklah mengetahui syarat-syarat menyewa buat pertama kali dan dokumen yang perlu dilampirkan ketika memohon, antaranya ialah:

  • pengesahan pekerjaan
  • pengesahan pendapatan
  • rujukan majikan atau rakan sekerja  
  • rujukan dari jiran/guru/ahli perniagaan/doktor/akauntan
  • foto pengenalan - lesen memandu/pasport/kad pengenalan pelajar (student ID)
  • 3 rujukan peribadi - yang ini bukan dari saudara mara
  • bil gas/elektrik/telefon lepas
     
Proses kelulusan menyewa memakan masa 3-4 hari. Sekiranya rekod anda baik, cepatlah kelulusannya. Jadi anda harus menjadi penyewa yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada tuan rumah yang lepas. Rekod anda yang baik akan dijadikan rujukan untuk menyewa rumah lain.

Setelah permohonan diluluskan, anda perlu menandatangai perjanjian sewa rumah. Perjanjian ini termaktub di dalam undang-undang dan secara rasminya perjanjian ini difailkan di pejabat peguam.




9. Ketahuilah Kaedah Bayaran Sewa


Kebiasaannya anda perlu bayar:

 i) Bond (Security Deposit)

Bond biasanya sama jumlahnya dengan sewa rumah untuk sebulan. Bond ini disimpan oleh Residential Tenancies Bond Authority iaitu penguatkuasa undang-undang sewa rumah di Victoria, Australia.

Bond ini akan dipulangkan semasa anda keluar/mengosongkan rumah nanti dengan syarat tiada sebarang kerosakan pada rumah, rumah berkeadaan baik dan bersih sebagaimana mula-mula masuk, karpet distimkan dan anda telah tinggal penuh dalam tempoh perjanjian (lease).

 ii) Duit sewa sebulan


Wang sewaan sebulan mesti dibayar sebelum pindah masuk. Ini bermakna anda bayar dahulu baru kunci rumah diberikan. Jadi bayaran sewa dibayar pada hari pertama (1 haribulan)  setiap bulan. Bayarlah sewa berterusan sehingga tamat lease. Kalau lewat bayar sewa 14 hari atau lebih ejen akan menghantar surat untuk anda mengosongkan rumah itu.


Untuk pengetahuan anda sewa rumah dibayar secara mingguan. Jadi kalau anda melihatkan iklan "house for rent - $500," ini bermakna anda perlu sediakan $2,000 sebulan. Tetapi anda boleh memohon kebenaran untuk membayarnya secara bulanan. Anda boleh memilih cara membayar sewa secara online, Electronic Transfer Fund, tunai di kaunter atau debit. Kad kredit tidak diterima.



10. Semak Keadaan Rumah Semasa Masuk Rumah Sewa Pertama Kali


Semasa anda masuk rumah sewa buat pertama kalinya pastikan segala kemudahan disediakan dan rumah berada dalam keadaan bersih dan baik. Catatkan dan "tick"  keadaan rumah itu dalam borang condition report yang diberikan.

Sekiranya anda tidak berkenan dengan keadaan dalam rumah itu, misalnya ada keretakan pada dinding/siling, dinding kotor, pintu ketat, kapet koyak/ada kesan rokok, soket elektrik tercabut atau hampir jatuh, dsb, laporkan dalam borang itu.

Ambillah gambar di setiap sudut rumah sewa ini dengan tarikh gambar itu dirakam terdapat pada gambar itu. Simpan gambar itu sebagai bukti. Ia amat berguna ketika anda keluar rumah dan tidak mahu menyewa di situ lagi. Kerana ketika keluar, rumah itu akan diperiksa, dan sekiranya tidak berada dalam keadaan baik sebagaimana mula-mula masuk dahulu penyewa perlu menanggung sebarang kerosakan yang dibuatnya. Deposit masuk akan ditolak dan kalau kosnya melebihi daripada duit deposit, maka penyewa perlu membayar lebih. Sekiranya penyewa tidak membayarnya, penyewa dikenakan tindakan undang-undang dan perlu hadir di mahkamah.

Semak setiap sudut/bahagian rumah ketika mula-mula berpindah masuk dan catatkan dalam borang


11. Ketahui Hak Anda Semasa Menyewa dan dalam Tempoh Perjanjian


Semasa anda menyewa dan berada dalam tempoh perjanjian (lease) anda boleh membuat aduan kepada ejen real estate anda sekiranya ada kerosakan pada rumah. Misalnya lampu terbakar, heater tidak berfungsi, pintu rosak, air panas tidak panas, paip air bocor, sinki tersumbat, flush tandas rosak, dsb. Anda perlu isi borang di pejabat ejen. Mereka akan hantar orang untuk memperbaikinya. Kos pembaikan tidak ditanggung oleh anda tetapi ejen real estate.

Anda juga tidak boleh sublet rumah sewa atau sewa bilik anda kepada orang lain.

Semasa dalam tempoh perjanjian ejen real estate anda akan datang membuat pemeriksaan rumah setiap 3 bulan sekali. Anda akan diberi surat dan diminta berada di rumah ketika pemeriksaan itu dijalankan. Sekiranya anda tidak ada di rumah, mereka akan masuk dengan menggunakan kunci yang ada pada mereka. Ketika mereka memeriksa rumah sewa anda itu, anda boleh membuat aduan kepada mereka sekiranya ada yang anda tidak berkenan. 

Anda juga boleh membuat sebarang aduan kepada persatuan pengguna sekiranya anda tidak puas hati atau rasa teraniaya. Berikut adalah butir-butir untuk dihubungi:

Consumer Affairs Victoria
Level 2
452 Flinders Street
Melbourne Victoria 3000
Tel 1300 55 81 81 (local call charge)
Fax (03) 9627 6007
Email consumer@justice.vic.gov.au
Website www.consumer.vic.gov.au

12. Pastikan Rumah Berkeadaan Baik Ketika Keluar Rumah Sewa


Semasa tamat kontrak sewaan dan anda hendak keluar rumah, pastikan beri notis 28 hari. Bersihkan rumah sebagaimana mula-mula masuk. Pastikan dinding rumah bersih terutama sekali bahagian dapur. Untuk mudah, catkan dinding rumah mengikut warna asal. Dapur dan oven hendaklah bersih berkilat.

Stimkan karpet. Untuk stimkan karpet boleh guna perkhidmatan yang disediakan oleh agen real estate. Tetapi ia agak mahal. Untuk lebih jimat buatlah sendiri. Caranya pergi sewa steam vacuum cleaner yang perkhidmatannya disediakan oleh pasaraya Coles dan stimkan sendiri. Kerjanya mudah. Budak-budakpun boleh buat. Resit menyewa steam vacuum cleaner itu diserahkan kepada agen Real Estate sebagai bukti karpet sudah distimkan.

Sekiranya rumah sewa itu didapati tidak bersih atau rosak, duit deposit tidak dipulangkan, malahan kita mungkin dikenakan denda dan menanggung kos pembaikan.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih terperinci lagi peraturan menyewa sila klik di sini.

Setakat ini sahaja dari Naramas Aman untuk rakan Nota Kembara. Diharapkan kalian dapat memanfaatkan tips ini.  "G'day Mate"

27 ulasan:

  1. Assalam,

    Padat sungguh info2 dalam blog ni. Thx sbb share.. Mana lah tahu 1 hari jika ada rezeki.. InsyaAllah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikumusalam,
      Salam perkenalan Fabulous Me. Terima kasih kerana sudi jadi rakan kembara saya. Saya harap Fabulous Me dapat memanafaatkan info dalam blog ini dan dapat ke bumi kangaroo :)

      Padam
  2. very very very useful information...i already bookmark this page for future reference. Thanks bebanyak kerana berkongsi.

    http://healthybeautifulblog.blogspot.com

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah, info yang sangat berguna. Jadi reference untuk saya bila tiba di Melbourne bulan 3 ni. :)

    Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. haziqruzaini,
      Semoga informasi ini boleh membantu sekiranya ingin menyewa rumah di Melbourne nanti.

      Semua informasi ini adalah berdasarkan pengalaman saya semasa tinggal di sana.

      Padam
  4. Salam,
    Terima kasih atas info yang diberi. Saya nk tanya berkenaan short term accommodation provided by Monash U, harga yang diberi adalah for per person or tak kisah? Saya akan buat attachment di Monash U selama 3 bulan with 3 adults(parents). Budget for accommodation around 300aud per week. This accommodation available for family or just for student only? How about the bills?
    Thank you.. Harap sangat2 tuan dpt membantu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Aimy's Family,
      Harga sewa short term accommodation Monash Uni adalah untuk sebuah rumah, bayar mingguan. Ia tidak kira bilangan orang. Rumah ini untuk Monash Uni student, samada yang single atau berkeluarga. Sewa rumah itu termasuk bil letrik, air dan gas. Untuk basuh baju ada bilik laundry dengan coin machine disediakan. Rumah ini amat selesa, full furnished dan berdekatan dengan Monash Uni, stesen keretapi, Monash Medical Centre dan pekan Clayton.

      Padam
    2. Terimakasih.. Info yang sangat2 membantu.. :)

      Padam
    3. Salam puan,
      Saya cuba search short term accommodation di Monash, Clayton. Harga untuk satu rumah yang disediakan oleh residential service, Monash di kira mengikut hari bukan minggu. Agak mahal juga jika di kira untuk seminggu. Paling murah 63aud per day for one bedroom. Budget saya cuma 200-300aud per week sahaja. Harap puan dapat membantu.

      Padam
    4. Salam Aimy's Family,
      AUD63 sehari adalah dianggap murah kerana ia termasuk elektrik, gas, air, perabut, tilam, bantal, selimut, tv, heater, pinggan mangkuk, peti sejuk dan semua peralatan dalam rumah. Tambahan pula short term accommodation tiada lease. Sekiranya menyewa rumah biasa (bukan short term), tuan rumah mengenakan lease, biasanya setahun. Puan tidak boleh berpindah sebelum tamat lease. Sekiranya berpindah dalam tempoh lease, puan dikenakan denda, bayaran gantirugi/ deposit hangus dan macam-macam lagi bayaran.

      Padam
  5. Assalammualaikum Puan. Suami saya bakal menyambung pengajian ke Deakin Universiti pada Februari 2015, in shaa Allah. Boleh puan cadangkan tempat tinggal atau kawasan yang boleh dijadikan tempat tinggal bg kami berdua yang sewanya tidak terlalu tinggi. terima kasih puan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Athirah. Kalau di Deakin University Box Hill, tinggallah di kawasan Box Hill atau Wattle Park atau Burwood. Untuk mengetahui kadar sewanya sila lihat laman web Real Estate yang terdapat di kawasan itu.

      Padam
  6. salam,isteri saya akan sambung study di la trobe selama setahun. kalau duduk di service apartment setahun boleh ker dan apa beza kosnya berbanding apartment sewa? mohon pendapat. terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali,
      Tahniah kerana dapat sambung belajar di La Trobe. Service apartment biasanya untuk golongan korporat atau bisnes atau mewah dengan kemudahan serba lengkap. Ia boleh disewa secara jangka pendek atau panjang mengikut terma pemiliknya. Sudah tentu sewanya jauh lebih tinggi berbanding dengan apartment sewa (furnished/unfurnished). Contohnya sewa apartment seminggu boleh mencecah AUD200 tetapi service apartment mungkin melebihi AUD 200 sehari.

      Padam
  7. Salam puan.
    Saya akan sambung study di Monash University, Feb 2015. In sha Allah. Boleh puan cadangkan, rumah area mana yang sewanya berpatutan dan mudah untuk saya ke universiti samada berjalan kaki atau naik public transport. Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nik Noor,
      Ada banyak kampus Monash University: Clayton, Caufield, Berwick, Peninsula, Parkville. Yang mana satu Nik akan pergi?
      Kalau di Clayton, boleh sewa rumah di kawasan Clayton, Huntingdale, South Oakleigh, Springvale, Westall, Noble Park. Tetapi perlu naik keretapi atau bas. Kalau berjalan kaki tinggal saja bersebelahan dengan kampus.

      Padam
  8. Salam Puan,
    Saya beserta 5 orang staff syarikat akan ke Melbourne Insyallah end of sept so kami pikir untuk sewa rumah selama seminggu.Apa cadangan dan solusi terbaik dari Puan.Terima kasih.Wassalam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau cuma seminggu lebih baik duduk di hotel atau hostel. Sila baca entri saya : http://nota-kembara.blogspot.my/2012/04/melbourne-tips-memilih-hotel.html

      Padam
  9. Saya akan ke melbourne dis 2015. Walaupun musim yang panas tapi demi meraikan anak yang konvo pada 14 dis 2015.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Musim panas di Melbourne terlalu panas, namun siang harinya panjang dan tentu dapat berjalan ke banyak tempat. Tahniah kerana kejayaan memiliki ijazah dari Monash University. Saya juga pernah menaiki pentas konvo di Monash Uni, kenangan yang indah.

      Padam
  10. Salam puan jika ade rezeki sy akn berkursus di ditc dalam tempoh 6bulan,ni kali pertama sy ke luar negara. boleh cadangkan rumah yg sesuai untuk saya menyewa dan berdekatan kerana saya bawa baby yg masif bf dan 3org lagi anak saya...tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Di suburb mana asnuramanda akan berkursus? Sebaik-baiknya pilih tempat tinggal yang berdekatan dengan stesen keretapi untuk memudahkan perjalanan.

      Padam
  11. Sy akan pergi julai 2019 shgga disember 2019

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kontrak perjanjian sewa rumah biasanya setahun. Kalau kurang dari itu lebih baik cari bilik atau tinggal di short term accomodation.

      Padam
  12. assalam cik..nak tanya, untuk menginap sementara di Dewan Malaysia tu, untuk student jeke? kalau untuk yg bekerja di melbourne boleh stay situ tak sementara nak cari ruma sewa? dan, syarat nak sewa rumah ni sama juga ke kalau di perth? tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Malaysia yang berkerja boleh sewa di Malaysia Hall. Malaysia Hall bukan untuk student sahaja, asalkan pegang pasport Malaysia boleh menginap di MH. Boleh hubungi pegawai/warden yang menguruskannya untuk booking. Syarat sewanya sama di Perth, kalau tak silap saya.

      Mohon berikan nama Tuan/Puan untuk bertanya atau memberi ulasan, bukan "Unknown".

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.