Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 6 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN (1) Dugaan Naik Keretapi di China

Kali ini saya berehat sebentar daripada Kembara saya di Beijing. Saya ingin mengajak anda ke Xi'an. Mengapa ke Xi'an? 

Xi'an adalah wilayah di selatan negeri China yang penting. Ia mempunyai penduduk Islam dari etnik Hui yang ramai. Xi'an terkenal dengan penemuan arkeologi yang mengejutkan iaitu Tentera dan Kuda Tanah Liat (Terracotta Warriors and Horses). Di Xi'an juga ada sebuah masjid tua yang telah dibina sejak abad ke-7 lagi. Keistimewaan inilah membuatkan saya ingin mengembara ke Xi'an.

Cuti musim panas Julai 2012 saya gunakan untuk mengembara ke Xi'an dan menaiki keretapi buat pertama kalinya di China. Semua saya lakukan sendiri. "DIY Xi'an!" Dari membuat tempahan tiket, hotel, sehinggalah ke tempat-tempat menarik di Xi'an semuanya "sendirian berhad'.  Saya pergi minggu lepas.

 

Debaran dan Perjuangan Membeli Tiket Keretapi


Berdebar-debar. Itulah perasaan saya setiap kali saya ke kaunter membeli tiket keretapi yang terletak berdekatan dengan Universiti Komunikasi China iaitu universiti yang menerima saya membuat penyelidikan di China ini. Saya tidak pernah berdebar-debar membeli tiket. Tetapi yang ini lain. Sebabnya saya tahu penjual tiket di kaunter itu tidak tahu bahasa Inggeris dan saya pula tidak tahu bahasa China. Ini yang membuat saya berdebar-debar. Mawar, Jingling, Zhu semuanya tiada untuk menemani saya membeli tiket kerana mereka entah ke mana-mana kerana bercuti.

Mahmud Chen lelaki Islam pertama yang saya kenal di China pula sudah pulang ke kampungnya di Angkang, Xian. Tetapi sebelum Mahmud pulang dia sudah tuliskan dalam karakter China tarikh saya hendak menaiki keretapi, destinasi saya dan jenis katil yang saya kehendaki. Tiket pula perlu ditempah dalam masa 5-7 hari sebelum pergi.

Mahmud Chen orang Islam Xi'an dari etnik Hui.Etnik Hui mewarisi keturunan Arab, Parsi dan Afghanistan yang menyebarkan Islam ke China pada abad ke-7 dan kemudian berkahwin dengan keturunan China (Han). Etnik Hui ini berkulit cerah seperti orang Arab, tinggi dan berhidung mancung. Mereka beragama Islam dan bermazhab Hanafi. Mahmud seperti adik kepada saya. Kami selalu makan tengahari bersama-sama di restoren halal di Universiti Komunikasi China. Mahmud selalu menterjemahkan bahan-bahan bahasa China buat saya dan selalu membantu saya sekiranya saya memintanya. Kalau anda ingin tahu bagaimana saya mengenali Mahmud Chen, sila klik di pautan ini.

Seminggu sebelum tarikh pemergianku saya sudah ke pejabat jualan tiket untuk menempah tiket. Saya hulurkan tulisan China tentang butir-butir perjalanan saya. Harap-harap dengan tulisan ini saya dapat tiket yang saya kehendaki. Setelah meneliti tulisan itu, kerani tiket itu memberitahu saya sesuatu yang saya tidak faham. Alamak kantoi saya?? Dengan keliru dan penuh tanda tanya saya tanya dia balik, tetapi dia balas dalam bahasa China sambil tersenyum-senyum kerana dia tidak tahu bahasa Inggeris. Saya menggaru-garu kepala saya yang tidak gatal. Saya bingung. Ketika itu saya berasa diri aku terlalu kerdil.

Saya meminta pertolongan orang lain yang beratur untuk membeli tiket, ada seorang lelaki menjelaskan kepada saya maksudnya. Barulah saya faham bahawa, keretapi yang saya kehendaki tidak ada. Saya perlu menukar keretapi lain dan ia bertolak pada waktu yang bukan aku minta. Satu lagi ia tidak ada katil. Cuma kerusi sahaja yang tinggal. Tak berapa seronok sikit sebab tak ada katil. Malangnya. Saya setuju sahaja dengan tiket itu walaupun saya tidak dapat katil yang saya kehendaki. Gembira juga saya kerana berjaya mendapatkan tiket dalam kesibukan percutian musim panas di China.

Tiket Keretapi dari Beijing ke Xi'an. Tiket keretapi pertama saya yang saya beli di Beijing


Setelah memperolehi tiket itu, saya minta pula tiket pulang dari Xi'an ke Beijing. Sekali lagi saya kantoi apabila dia cakap China. Sekali lagi orang membantu menterjemahkannya. Katanya tiket dari Xi'an ke Beijing belum lagi dibuka tempahannya, saya perlu datang lagi dalam masa 3 hari. Susahlah macam ni, tiket pergi ada, tapi tiket balik tak ada pula. Risau juga. Jadi saya tidak dapat membuat tempahan hotel lagi kerana belum tentu bila akan balik semula ke Beijing.


3 hari selepas itu saya datang semula ke pejabat jualan tiket itu. Berdebar-debar lagi saya. Kali ini saya tulis sendiri tarikh, destinasiku, jenis keretapi dan jenis katil (iaitu soft sleeper) dalam tulisan China di atas sehelai kertas. Sekali lagi saya menghadapi masalah berkomunikasi. Tetapi diselamatkan oleh orang yang datang membeli tiket sebagai penterjemah bebas. Saya diminta datang pada pukul 3 petang kerana tiket itu belum lagi dibenarkan dijual. Pulak dah! Begitu kaedahnya beli tiket di sini. Lecehnya! Sistem beli tiket macam ni tak mesra pelanggan langsung!

Pukul 3 petang itu saya datang lagi. Debaran saya berakhir. Saya dapat tiket dari Xi'an ke Beijing dengan katil (soft sleeper).Yaay! Gembiranya saya dapat tiket keretapi itu! Saya tidak pernah segembira ini mendapat tiket. Bayarannya ialah 442 yuan (RM221). Mahalkan! Tetapi tak apa, perjalananya jauh. Malam ini bertolak, hampir tengahari besok baru sampai.


Menempah Hotel di Xi'an


Setelah kedua-dua tiket pergi dan balik saya perolehi, barulah saya menempah hotel kerana menurut Mahmud Chen hotel banyak terdapat di Xi'an. Setelah membuat research dan membaca review dalam Trip Advisor akupun membuat tempahan hotel melalui hostelbookers.com secara online. Setelah confirm tempahan itu saya pun bersedia untuk ke Xi'an dari Beijing. Saya menelefon hotel itu dan bertanyakan cara menuju hotel itu tetapi menurut mereka, mereka akan mengambil saya di stesen keretapi apabila saya sampai. "Percuma,"  kata mereka. Baguskan?


Hampir Ketinggalan Keretapi Ke Xi'an


Pada hari saya berangkat ke Xi'an itu saya sudah membuat persediaan awal. Untuk menaiki keretapi ke Xi'an saya perlu ke Stesen Keretapi Beijing Barat (Beijing West Railway Station). Stesen Keretapi Beijing Barat ini amatlah jauh. Saya perlu menaiki subway Laluan Batong, tukar ke Laluan 1 kemudian turun di Stesen Military Museum. Setelah sampai di Military Museum, perlu pula mengambil bas untuk ke Stesen Beijing Barat. Mahmud Chen yang ketika itu berada di kampungnya di Angkang, Xi'an telah mengingatkan saya perjalanan ke Stesen Keretapi Beijing Barat memakan masa satu setengah jam dari Universiti Komunikasi China.


Stesen subway Military Museum

Military Museum yang terletak di hadapan stesen subway Military Museum


Saya keluar rumah pada pukul 6 petang dan telah sampai ke stesen Military Museum pada pukul 7 petang. Dari situ saya mengambil bas 320 untuk ke Stesen Keretapi Beijing Barat. Ini kali kedua saya ke situ. Kali pertama saya pergi saya nampak jelas stesen keretapi yang besar dan indah itu. Ia juga tidaklah jauh dari stesen Military Museum.

Inilah Beijing West Railway Station dalam fikiran saya, tetapi entah bagaimana saya tak nampak pula pada hari itu



Tetapi pada hari itu saya tidak nampakpun Stesen Keretapi Beijing Barat. Pengumuman pula semuanya dalam bahasa China. Arahan destinasi dan perhentian semuanya dalam bahasa China. Satupun saya tak faham. Dari satu perhentian ke satu perhentian saya tunggu, tetapi tak nampak-nampak stesen itu. Hari itu agak gelap jadi mungkin sebab itu saya tak nampak stesen itu. Lagipun dulu saya naik shuttle bus untuk ke stesen itu. Tapi kali ini naik bas biasa.


Bangunan ini letaknya di seberang jalan Beijing West Railway Station. Bangunan inipun saya tak nampak pada hari itu.

Apabila saya rasa perjalanan saya sudah terlalu jauh saya bangun dan bertanya pembantu bas di situ. Dia memberitahu saya supaya berpatah balik dengan menyeberang jalan. Alamak saya dah terlajak jauh rupanya! Lalu saya turun. Masa itu sudah pukul lapan malam.

Saya harus segera ke stesen Keretapi Beijing Barat. Saya harus sampai sebelum 8.30 malam. Keretapi bertolak dari Beijing ke Xi'an pada pukul 9.17 malam. Lalu saya lintas jalan dan menanti bas 320. Tetapi tiada. Ketika itu hari sudah gelap. Saya tahan dua tiga buah teksi. Semua sudah ada penumpang.  Saya mula gabrah. Habislah saya ketinggalan keretapi ke Xi'an. Saya mula give-up. Habislah!

Sebentar kemudian lalu sebuah teksi. Saya tahan. Dia berhenti. Saya terus meluru masuk ke dalam perut teksi dengan beg-beg aku tanpa bertanya apa-apa. Setelah duduk di belakang, saya terus memberitahu pemandu teksi itu iaitu seorang wanita supaya menghantar saya ke "Beijing Xi Zhan" (Maksudnya Stesen Keretapi Beijing Barat). Untuk kepastian bahawa dia membawa saya ke destinasi yang betul saya suakan tiket keretapi saya ke Xi'an yang mengandungi tulisan China "Beijing Xi Zhan." Dia angguk dan membawa saya terus ke tempat itu.



Saya dihantar pemandu teksi wanita ke Stesen keretapi Beijing Barat



Sayapun sampai di pintu masuk Stesen Keretapi Beijing Barat pada pukul 8.20 malam dan beratur masuk. Tiket saya dicop dan pasport saya diperiksa. Lalu saya terus bertanya platform mana saya harus pergi. Pegawai di situ memberitahu saya harus ke platform 7. Saya lihat orang terlalu ramai. Ada yang beratur. Ada yang lepak di atas lantai. Ada yang berjalan masuk. Setiap perjalanan saya ketika itu sedikitpun tidak buang masa. Saya sentiasa bertanya supaya saya tidak salah dan tidak ketinggalan. Kalau tidak rugilah saya.

Sesudah sampai di platform 7 saya disuruh pula beratur mengikut pintu 1. Saya lihat orang sudah ramai beratur memasuki pintu 1 itu. Sayapun beratur dan bertanya dalam bahasa Inggeris kepada seorang remaja lelaki bertopi ala rapper, "Adakah ini barisan untuk ke Xi'an?." Lalu remaja itu menjawab dalam bahasa Inggeris dengan fasih dengan accent Amerika pulak tu. Dia pun hendak ke Xi'an. Lega saya! 

"Alhamdulillah. Saya berada di barisan yang betul! Saya tidak ketinggalan keretapi! Saya dapat ke Xi'an!" 

Dia lalu menjadi teman saya sepanjang kami beratur itu. Dia memberitahu saya bahawa dia adalah pelajar di sebuah kolej di Michigan Amerika Syarikat. Jadi segala kesangsian tentang cara-cara membaca tiket dan menaiki gerabak keretapi itu saya tanyakan padanya. Dia menjadi penterjemah bebas saya. Gerabak saya nombor 6. Kami kemudiannya berpisah kerana dia memasuki gerabak yang lain.


Suasana Dalam Keretapi ke Xi'an


Apabila memasuki gerabak no 6, pegawai keretapi yang menjaga gerabak no 6 itu membawakan saya ke tempat duduk saya. Orang sudah ramai di dalam gerabak itu. Tempat duduk saya pun sudah diambil orang, tetapi pegawai itu menyuruh orang itu bangun kerana itu tempat saya. Sayapun melabuhkan punggung saya di atas kerusi. Saya duduk bersebelahan dengan seorang gadis. 

Pada mulanya saya menyangka saya malang kerana tidak dapat katil. Hanya kerusi sahaja. Tetapi saya lihat ramai yang lebih malang daripada saya. Mereka langsung tidak dapat kerusi. Mereka berdiri sahaja. Kesiannya. Mereka perlu berdiri selama lebih 12 jam! 

Setelah keretapi bergerak meninggalakan stesen Beijing Barat mereka tetap berdiri. Tetapi lama kelamaan ada yang mula duduk. Ada yang membawa bangku sendiri. Ada yang duduk di lantai. Tetapi memang tidak selesa kerana sekejap-sekejap pemeriksa tiket datang. Sekejap-sekejap ada yang datang bawa troli jual air. Sekejap-sekejap mereka jual makanan. Sekejap-kejap ada penumpang baru masuk. Ada sahaja sehingga tidak senang duduk. Keadaan amat sesak dan sibuk.

Suasana sesak dalam keretapi dari Beijing ke Xi'an. Kelihatan ramai penumpang tidak mendapat kerusi. Mereka duduk di lantai dan berdiri.



Lama kelamaan keadaan mula kurang sibuk dan tenang. Masing-masing buat hal sendiri. Ada yang tidur. Ada yang membaca. Ada yang menggunakan iPhone. Ada yang berbual-bual. Saya makan, solat dan bersahur di tempat duduk saya. Tidak ada sesiapa yang peduli.


Perjalanan ke Xi'an dari Beijing memakan masa 13 jam. Pengumumuan semuanya dalam bahasa China. Untuk memastikan saya tidak terlajak macam tadi tu, saya bertanyakan remaja yang duduk di kerusi hadapan saya. Dia jawab dalam bahasa China. tetapi yang ini saya faham. Saya dah mula faham sedikit-sedikit bahasa China. Disamping itu saya SMS Mahmud Chen dan Mahmud Chen tidak jemu menjawab SMS saya di awal-awal pagi. Menurut Mahmud, Xi'an ialah destinasi terakhir dan sepatutnya keretapi sampai pada pukul 10:02 pagi tetapi melalui pengalamannya keretapi selalu sampai lambat.


Sampai di Xi'an 

 

Stesen Keretapi Xi'an


Memang betul kata Mahmud Chen. Keretapi itu lewat sampai setengah jam di Xi'an. Apabila sampai saya terus keluar dan mencari wakil hotel yang berjanji menanti saya. Dalam kesibukan orang ramai itu saya nampak seorang lelaki sedang mengangkat sebuah kad dengan nama saya terpampang di atasnya. Saya gembira lalu saya memperkenalkan diri saya. Dua orang menunggu saya, seorang lagi perempuan. Lalu mereka membawa saya ke hotel yang tidak jauh dari stesen keretapi itu. Kami berjalan kaki kira-kira 10 minit. Perkhidmatan mengambil saya di stesen keretapi itu adalah percuma. Senangkan?

Sayapun sampai di hotel yang telah saya tempah melalui hostelbookers.com. Ia adalah Youth Hostel. Hostel ini sangatlah "COOL"! Sangat menarik. Tempat penginapan beginilah yang saya cari. Ia bercirikan "Chinese traditional courtyard setting". Nak tahu bagaimana rupa hostel ini? Akan saya ceritakan nanti dalam entri akan datang.

bersambung...

Jumaat, 3 Ogos 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #9: World Park, Mengelilingi Dunia Dalam Masa 80 Minit

Pernahkah anda membaca atau mendengar tajuk novel "Around the World in Eighty days?" Novel ini sudah lama diterbitkan - 1873. Sangat klasik. Pada mula-mula saya baca itu saya budak sekolah lagi. Pada masa itu, mengelilingi dunia dalam 80 hari adalah sesuatu keistimewaan. Pada hari ini ia adalah kebiasaan. 

Di negara China semua perkara mustahil boleh berlaku. Malah lebih hebat daripada itu. Di Beijing kita boleh "Around the World in 80 minutes"! Aku dah lakukan!

Senang! Pergi sahaja ke World Park! Di sini kita boleh pergi ke Paris, Amsterdam, Athens, Washington D.C, Pisa, Jepun, Mesir, Mexico, Sydney, Moscow dan kotaraya-kotaraya terkenal di dunia dalam masa sesingkat 80 minit. Tak percaya? Tengoklah gambar yang telah aku rakamkan.

Sekejap saya ada di Paris. Sebentar kemudian di London. Kemudian di Athens. Lepas tu di Amsterdam, kemudian di Amerika...semuanya saya lakukan dalam masa 80 minit!











Saya ke sini bersama dengan anak saudara saya. Anak saudara saya sudah jemu melihat bangunan-bangunan purba China. Dia mahu sedikit kelainan. Saya pula ke sini kerana pernah menonton filem China bertajuk World Park yang setingnya di sini dan menceritakan tentang kepayahan orang muda China mencari penghidupan di Beijing. Jadi kamipun ke sinilah. 

Kawasan ini luas. Cuaca pada hari itu panas. Jadi perlu berpayung. Ada kedai jual cenderamata, tandas dan taman-taman untuk berehat dan sesuai untuk solat.

Pada pandangan saya World Park ini hanya dunia angan-angan. Tiada yang nyata. Bangunan-bangunannya tiruan, palsu. Yang nampak real hanya Eiffel Tower, Paris. Ramai pasangan pengantin membuat photo shoot di situ. Tapi anak saudara saya suka ke tempat ini. Baginya amat menarik. Katanya, "Kenapa Malaysia tak buat macam ni ek?"



Cara pergi:


Ambil subway Laluan 1, kemudian turun di Military Museum. Kemudian ambil shuttle bus. Tambangnya 0.40yuan (RM0.20 sen). Turun di Beijing West Railway Station.

Atau ambil bas nombor 320, tambangnya 2 yuan (RM1), turun di Beijing West Railway Station.

Kagum...Beijing West Railway Station yang tersergam indah

Kedai produk halal di Beijing West Railway Station


Apabila sampai di Beijing West Railway Station yang besar dan indah itu masuklah ke laluan 9 yang letaknya di bawah tanah.

Laluan 9 di Beijing West Railway Station. Kena turun tangga.

Naiklah keretapi subway yang bersih dan cantik di Laluan 9. Orang tak ramai.




Gambar dalam subway laluan 9. Gambar ini saya ambil ketika pulang dari World Park. Pertama kali saya lihat tiada orang dalam subway di Beijing..


Ambil keretapi bawah tanah (subway) laluan 9 dan turun di Guogongzhuang. Keluar ikut pintu D.


Apabila saya keluar sahaja dari Stesen subway Guogongzhuang ini sudah menanti beberapa beng beng dan teksi. Semuanya menerpa ke arah saya memujuk untuk menaiki kenderaan mereka.

 

Setelah sampai di situ, ambil beng beng (beca bermotor), tambang cuma 6 yuan (RM3) atau kalau suka jalan kaki, boleh jalan kaki kira-kira 20-30 minit ke World Park. Daripada stesen Guogongzhuang. tadi, berjalanlah terus ke hadapan. Di kiri kanan ada kawasan perumahan mewah. Anda akan lihat World Park itu berhadapan dengan kawasan perumahan Beijing International Garden.

Pintu masuk World Park ala Disney Land. Sesampai sahaja di sini, gambar saya diambil oleh seorang perempuan. Apabila hendak pulang perempuan itu menunjukkan gambar saya yang diambilnya tadi sudah berada dalam rantai kunci (key chain). Saya pun beli dengan harga 10 yuan (RM5).


Kaunter tiket di World Park


Itulah World Park (Taman Dunia) di Beijing yang boleh memenuhi impian anda mengelilingi dunia dalam masa sesingkat 80 minit. Jangan lupa untuk mengikuti Kembara saya di Beijing dalam entri akan datang.


Selasa, 31 Julai 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING #8: Beihai Park

P ada entri yang lepas saya telah mengajak anda ke Istana Musim Panas yang tak habis dijelajah dalam sehari. Kali ini pula saya ingin mengajak anda ke sebuah taman lain yang tidak kurang luas dan cantik: Beihai Park namanya.

Saya pergi berdua bersama anak saudara saya. Kami ke sana dengan menaiki subway laluan 1 dan turun di Dataran Tiananmen. Selepas melawat Dataran Tiananmen kami berjalan kaki menuju ke Beihai Park.

Dalam perjalanan menuju ke Beihai Park itu kami dapat lihat kawasan perumahan tradisional di Beijing yang dikenali dengan hutong. Hutong ini memang unik dan tersendiri, malahan ia adalah warisan Beijing yang sudah semakin pupus, tetapi ada yang masih menghargainya. 




Kami sempat mengambil gambar kawasan hutong itu.  Kami dapat melihat pintu-pintu gerbang hutong yang bercirikan senibina China purba. 



Kami juga dapat melihat lorong-lorong, rumah-rumah, sekolah dan bangunan kerajaan.




Kedai-kedai bersenibina China purba kelihatan menarik di pinggir jalan.





Kami dapat lihat kebiasaan orang di sini iaitu bermain terup dan berjudi di tepi jalan.




Pertama kali saya melihat posnita (penghantar surat wanita) ialah di kampus Universiti Komunikasi China. Apabila saya ke kawasan hutong ini saya terlihat seorang lagi posnita sedang menghantar surat dengan menaiki basikal dari hutong ke hutong. Jadi di China ini, wanita boleh lakukan apa sahaja.





Ada sebuah kedai orang Islam di situ dan mereka mengajak kami singgah makan tengahari. Tetapi melihatkan keadaan dalam kedai yang berselerak dan kurang bersih, kami tidak ada keinginan untuk makan. Kami cuma membeli air botol sahaja. 



Sambil berjalan itu kami sempat juga bertanya kepada beberapa orang, "Di mana Beihai Park?", tetapi ramai yang tak tahu, kerana mereka tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya ada seorang pengawal lalulintas memberitahu kami kedudukan yang tepat, itupun menggunakan bahasa China dan bahasa isyarat.

Kami sampai di Beihai Park agak petang. Orang tidaklah ramai berbanding dengan di Istana Musim Panas. Kebanyakannya yang datang ke taman itu adalah orang tempatan. 

Di kawasan luar pintu masuk taman ada pusat penerangan pelancong. Jadi kami masuk untuk mendapatkan  brosur yang hampir kehabisan.

Bayaran masuk ke Behai Park cuma 10 yuan (RM5). Oleh kerana kami sudah banyak berjalan kaki dan kaki pula sudah lenguh, kami menaiki jeep untuk masuk ke dalam taman itu. Bayarannya 10 yuan. 





Kami dapat melihat tasik, bot-bot dan kedai-kedai di taman itu. 

Beihai Park mempunyai sejarah lebih seribu tahun. Ia mula dibina pada zaman dinasti Liao kemudian ditambah pembinaannya dan dibaikpulih pada zaman Dinasti Jin, Yuan, Ming dan Qing. 

Taman ini berkeluasan 69 hektar, tasiknya pula mengambil 39 hektar daripada keseluruhan keluasannya. Pembinaan taman ini adalah berdasarkan kepercayaan kuno Maharaja China yang meniru “taman kayangan” untuk kehidupan selepas mati mereka.





Jeep itu menghantar kami ke bahagian tengah taman. Di situ kami dapat melihat pemandangan yang cantik. Terdapat pulau di tengah-tengah tasik itu. Pulau inilah yang telah dibina oleh Maharaja Liao dahulu yang menimbunkan tanah-tanah menjadi bukit-bukit. Di atas bukit itu pula ada sebuah bangunan tinggi yang dipanggil Dagoba. Dagoba ini dibuat bercirikan tempat ibadat orang Buddha. Ia pernah musnah akibat gempa bumi. Tetapi dibaikpulih semula. 

Dagoba adalah mercu tanda Beihai Park. Untuk ke sana kita perlu menaiki bot. Tapi kami hanya melihat sahaja dari jauh.



Kemudian kami berjalan-jalan melihat taman-taman kecil di situ. Ada bukit-bukit kecil untuk berehat. Ada sebuah tembok berukiran naga sembilan ekor terdapat di situ. Tembok ini hampir sama dengan tembok yang saya lihat di Kota Larangan. Cuma di Kota Larangan naganya tiga ekor. 

Di sini tembok naganya adalah yang terbesar di China. Naga-naga itu terdapat di kedua-dua belah tembok. Disamping sembilan ekor naga besar terdapat juga naga-naga kecil di tepi-tepi dan bucu-bucu tembok yang berjumlah sehingga 635 ekor. Ia telah dibina 200 tahun dahulu tetapi warnanya masih terang dan senibinanya masih sempurna, menggambarkan ketinggian mutu seni China purba.




Kami melihat ramai orang tempatan yang berjogging, berjalan kaki dan beristirehat di situ.



Apabila puas kamipun berjalan kaki keluar meninggalkan Behai Park yang indah. Untuk pulang kami menaiki bas nombor 5 yang perhentiannya berhadapan dengan pintu keluar Behai Park. Tambangnya cuma 2yuan (RM1). Bas nombor 5 ini kemudiannya lalu di Dataran Tiananmen dan kami turun di situ. 

Kami mencari arah stesen subway Tianmen Barat, iaitu dari arah kami datang tadi, tetapi jalan itu ditutup disebabkan ada pegawai penting (VVIP) berada di Dataran Tianamen. Jadi kami kehilangan arah. Lalu bertanyakan pengawal-pengawal di situ, "Where is the subway station?". Semuanya tak tahu apa itu "subway". Beberapa kali kami sebut perkataan "subway station". Semuanya tak tahu. Setelah menunjukkan kamus bahasa China di dalam telefon bimbit saya barulah mereka faham. Seterusnya  kami pulang ke rumah menaiki subway laluan 1 dari Tianamen Barat. Kami pulang dengan seribu ilmu dan kenangan.

Ikutilah Kembara Naramas Aman dalam entri akan datang.


Selasa, 24 Julai 2012

TEMPAT MENARIK DI BEIJING # 7: Istana Musim Panas

I stana Musim Panas (Summer Palace) adalah destinasi kembara saya di Beijing seterusnya.

Kali ini saya tidak sendirian ke sini, ini disebabkan kawan-kawan saya iaitu siswi dari Unviersiti Beiyu mengajak saya ke sana. Kira-kira enam orang semuanya. Ajakan itu saya sambut dengan gembira tambahan pula anak saudara saya baru sampai dari Ipoh, jadi sayapun heretlah dia sama.



Cuaca hari itu amat panas. Oleh kerana tidak membawa payung, kamipun ramai-ramai beli topi yang dijual di kaki lima di kawasan luar Istana Musim Panas. Cuma 10yuan (RM5) sahaja .

Istana Musim Panas ini amatlah besar dan tak boleh habis melawatnya dalam sehari.



Terdapat empat kawasan utama di kawasan Istana Musim Panas ini: Kawasan istana, kawasan tasik, kawasan bukit bahagian depan dan kawasan bukit bahagian belakang.
“Kena datang 3 kali baru habis melawat taman ini,” kata kawan-kawan saya yang sudah datang kali kedua. Kali pertama mereka ke bahagian istana.

Oleh kerana ia sebuah taman yang luas, kami cuma dapat melawat bahagian tasik sahaja pada hari itu.



Di  bahagian tasik Istana Musim Panas ini ada banyak pokok-pokok di pinggir tasik dan bangunan-bangunan bersenibina China purba.


Tasik yang luas di taman ini bernama Tasik Kunming. Pulau yang berada di tengah-tengah Tasik Kunming ini adalah Pulau Nanhu dan ia disambung ke tanah besar oleh sebuah jambatan berbentuk gerbang melengkung.





Pohon-pohon teratai berdaun lebar mencuar dari permukaan air tasik. Bunga-bunga teratai belum lagi berputik kerana ketika itu belum masuk musim panas --penghujung musim bunga.




Untuk ke pulau di tengah-tengah tasik, kita boleh naik feri, bot atau jambatan. Kami pilih bot yang boleh dikayuh dengan kaki. Sungguh gembira rasanya menaiki bot dengan kawan-kawan, sekali-sekala ada juga kami terlanggar bot-bot yang lain. Sambil itu kami sempat ambil gambar dan menikmati suasana taman dengan angin meniup-niup wajah kami. Kami gelihati melihat gelagat Fasha dan Kamilah yang berpura-pura berlagak seperti Jack dan Rose yang mendepangkan tangan di atas dek kapal dalam filem Titanic, tapi tak jadi.

 
Istana Musim Panas ini dahulunya adalah tempat rehat keluarga diraja zaman Maharaja China dalam Dinasti Ching. (Kira-kira pada abad ke-17). Ia dipelihara dengan baik sehingga ke hari ini.

Ini adalah antara contoh terbaik Taman Diraja China. Ia juga mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai satu Warisan Dunia.


Ramai yang datang untuk bersantai, bersiar-siar dan berehat-rehat. Alunan muzik tradisional China dimainkan oleh pemuzik tempatan  di bawah pokok pinggir tasik memukau setiap pengunjung.


Cuaca yang panas membuatkan tekak kami mengidam aiskrim. Mujurlah ada aiskrim berlogo halal dalam tulisan China dijual di situ.

Apabila tiba waktu solat, kami solat di bahagian belakang tembok di taman itu.


Seharian di Istana Musim Panas mengajar kami untuk mencintai alam. Mungkin saya akan datang lagi untuk melawat bahagian lain di Istana Musim Panas yang indah dan luas ini.

Cara ke sana :

Ambil subway laluan 4, turun di Beigongmen atau turn di Stesen Xiyuan, keluarlah dari stesen itu ikut pintu C, kemudian jalan ke arah Barat.




Pertama kali melihat pondok telefon awam berbentuk bangunan China purba memikat hati saya.

Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara menarik dan taman-taman yang cantik di China ini. Dalam entri akan datang saya ingin mengajak anda ke taman lain pula. Xai xien!

Jumaat, 20 Julai 2012

Tempat Menarik di Bejing #6:Tembok Besar Negeri China


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Dah lama rasanya tak berblogging...bukan pasal apa...ini disebabkan blogspot di China ni macam biskut, kejap ada kejap tak ada. Tetapi alhamdulillah sekarang saya kembali semula setelah masalah itu saya dah dapat selesaikan. Jadi maaflah kalau ada rakan-rakan yang menulis komen tapi lambat saya balas. Sebenarnya saya selesaikan masalah ini dengan membayar perkhidmatan untuk mengakses laman web yang disekat di China ni.

Selamat Menyambut Ramadhan! Hari ini kami di China dah mula berpuasa.

Kembali semula kisah saya di Beijing yang tertunggak sekian lama.

Tidak lengkap ke Bejing tanpa menjejakkan kaki ke Tembok Besar. Pepatah China mengatakan bahawa bukan lelaki sejati namanya kalau tidak pernah menjejakkan kaki ke Tembok Besar ini. Rasa tercabar?

Saya telah sampai ke sini pada hujung Mei 2012! Yeay! Yang membanggakan saya, saya pergi sendiri. DIY Great Wall! Maksudnya saya pergi tak payah guna ejen pelancongan. Saya pergi sendiri naik keretapi! Dalam buta huruf dan tak tahu cakap China ni saya dah berjaya sampai! BESTNYA!!!

Selalunya saya Kembara Solo di Negara Tembok Besar ni. Tapi kali ini saya pergi berdua dengan anak saudara saya Fatihah (bukan nama sebenar). Dia baru sampai dari Ipoh, datang melawat saya. Anak saudara saya ni berusia 19 tahun. 

Kami bertolak awal pagi dari rumah. Kami menaiki subway laluan Batong. Kemudian tukar ke laluan 1, ke Fuxingmen. Kemudian tukar ke Laluan 2 untuk ke Xizhimen. 





Kemudian kami jalan kaki ke stesen keretapi Utara Beijing. Di sinilah stesen keretapi ke Tembok Besar itu. Senang saja kami cari stesen ini, ikut arahan anak panah sahaja. Kami keluar ikut Laluan 13. Terus jumpa Stesen keretapi Utara Beijing (Beijing North Sation) tak jauh dari situ.






Kemudian kamipun belilah tiket. Mula-mula pergi ke kaunter 1. Tapi lepas dah beratur mereka suruh pergi ke kaunter lain pula. Apabila saya tanya di mana nak beli tiket ke Badaling (setesen terdekat dengan Tembok Besar), penjual tiket tu hentam cakap China. Saya beritahu dia saya tak tahu cakap China. Tapi dia teeruusss cakap China, berjela-jela pulak tu. Dia tunjuk-tunjukan jari ke arah kaunter penerangan. Maksudnya, dia suruh kami tanya kaunter penerangan. Kami pun pergilah ke kaunter penerangan yang kami sangka penyelamat kami. Tapi kaunter penerangan pun dua kali lima, sepatah bahasa Inggerispun dia tak tahu. Masalah, betul.

Kamipun agak-agak sajalah hendak ke kaunter mana. Tak lama kemudian kami nampak ramai orang mula beratur termasuk Mat Salleh di kaunter 7 dan 8. Kemudian kami dengar pengumuman dalam bahasa China. Yang saya faham cuma "Badaling! Badaling!" Jadi saya agak inilah tempat beli tiket ke Badaling. Saya dan anak saudara sayapun beratur beli tiket. Harga tiket keretapi murah sangat-sangat, 6yuan (RM3) sahaja untuk pergi ke Badaling.






Lepas beli tiket, kamipun masuk ke ruangan menunggu dalam stesen dan terus beratur. Walaupun pintu platform belum dibuka orang sudah ramai beratur. Kami ni kira beratur dalam barisan depan jugaklah. Kami menunggu di platform 6, untuk naik keretapi S209.





Lama juga kami beratur, dalam 45 minit. Setelah itu, keretapipun sampai. Lalu pagar platform dibuka. Sebaik-baik sahaja pagar dibuka, kami lihat orang berlari meluru ke arah keretapi. Kamipun turut lari. Takut tak dapat tempat duduk. Jenuh berdiri sejam lebih nanti. 







Kamipun masuk ke dalam kererapi dan cari tempat duduk. Cepat-cepat cari. Akhirnya kami dapat tempat duduk. Macam main musical chair pulak.

Selesa juga  dalam keretapi tu. Kerusinya besar, lembut dan kaki kita boleh dilunjurkan. Bersih.





Perjalanan memakan masa sejam 18 minit ke Badaling. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat pemandangan kebun, kampung, gunung-ganang dan rumah-rumah petani. Menarik!





Apabila hampir sampai ke Badaling kami dapat lihat Tembok Besar China di atas gunung. Sangat panjang dan megah. Lurus, berliku, naik, turun. Teruja benar kami melihatnya. Ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar dari cermin tingkap keretapi.




Setelah sampai di Badaling, kamipun turun dan berjalan kaki menuju ke Tembok Besar. Kami ikut orang ramai. Semua dalam keretapi tadi hendak ke Tembok Besar. Kami berjalan lebih kurang dalam 800 meter. Tak jauh. 









  
Apabila sampai di kaki Tembok Besar kamipun beli tiket. Kami pilih dua cara iaitu menaiki kabel dan kemudian berjalan kaki. Untuk kabel kami bayar 80yuan (RM40) pergi balik, untuk yuran masuk ke Tembok Besar kami kena bayar 45 yuan (RM22.50).  Jadi jumlah semuanya 125 yuan (RM62.50).

Kamipun beratur dan menaiki kereta kabel. Seronok. Dari dalam kabel, kami dapat melihat Tembok Besar yang panjang dan megah, gunung-ganang, jurang dan persekitaran dari arah atas. Cantik. 





Setelah sampai di atas, hampir ke kemuncak gunung, kamipun turun dari kereta kabel. Kemudian kami jalan kaki dan mendaki ke bahagian atas Tembok Besar.







Ramai sungguh orang yang datang, walaupun itu hari bekerja.

Sudah tentu kami bergambar di sini. Orang China juga suka meminta kami bergambar dengan mereka. Memang menjadi kebiasan orang China suka bergambar dengan kami setiap kali kami ke mana-mana di Beijing. Mungkin pada pandangan mereka kami ini amat berbeza dengan mereka. 


Kami amat kagum dengan binaan Tembok Besar ini. Saujana mata memandang. Warisan terpelihara ini memang hebat.






Waktu sudah tengahari. Cuaca tidaklah panas sangat. Ketika ini hujung musim bunga. Kami duduk berehat  di atas tangga Tembok Besar lalu makan nasi goreng yang kami masak di rumah pagi tadi. Seronoknya dapat berkelah nasi goreng di Tembok Besar!

Setelah puas di Tembok Besar kamipun turun. Kami pun singgah di kedai-kedai membeli-belah. “Luke! Luke!” (sebenarnya "Look! Look!") kata peniaga-peniaga itu mengajak kami melihat barang-barang jualan mereka. Saya beli fridge magnet. Harganya tidaklah mahal, 50yuan (RM25) untuk 10 buah, gambar Tembok Besar. Kemudian saya beli pinggan seramik bentuk Tembok Besar, 30yuan (RM15). Semuanya saya tawar separuh dari harga yang diletakkan. 


Setelah itu kami mengambil wuduk di bilik air yang letaknya di kaki bukit. Lalu mencari tempat yang sesuai untuk solat. Di belakang tembok, di tepi jalan.




Setelah itu kamipun pergi semula ke stesen keretapi Badaling. Kami lihat tiang-tiang lampu diukir dengan bentuk Tembok Besar. Patung pahlawan menaiki kuda pun ada di tepi jalan.




Semasa sampai di stesen keretapi Badaling, pintunya masih ditutup.





Kami menunggu ia dibuka. Apabila kami tanya pegawai-pegawai di situ, bila tiket mula dijual, mereka semua balas dengan bahasa China. Kantoi! Lepas seorang demi seorang keluar dari dalam stesen untuk cuba menjawab soalan kami. Semuanya tersengih-sengih sebab tak tahu bahasa Inggeris. Semua berusaha untuk menolong tapi tak berdaya. Lama-lama barulah faham bahawa kaunter tiket akan dibuka pada 5.00 petang. Merekapun ajak kami masuk dan suruh kami duduk di kerusi. Kamipun menunggu dalam 1.5 jam di setesen keretapi. 

Sambil menunggu itu kami ditegur oleh seorang lelaki China. Namanya Feng. Kamipun berbual-bual dalam bahasa Inggeris. Feng seorang siswa dari Peking University. Kemudian dia membantu kami membeli tiket apabila kaunter tiket dibuka. Sampai sekarang kami masih berkawan dengannya. (Saya tahu dia nak mengorat anak saudara saya tu he he he)

Ketika itu hari hujan. Pelangi kelihatan indah di langit.




Setelah tiket diperolehi dan keretapipun sampai. Kamipun pulang meninggalkan Tembok Besar. Sayup-sayup Tembok Besar itu hilang dari pandangan kami apabila keretapi bergerak meninggalkan Badaling. 











Itulah sehari di Tembok Besar Negeri China. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Impian yang telah terlaksana. Feng kata dia telah menjadi lelaki sejati sebab telah berjaya mendaki Tembok Besar. Tapi saya dan anak saudara saya perempuan. Perempuan sejatikah?