Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 6 Ogos 2012

KEMBARA SOLO KE XI'AN (1) Dugaan Naik Keretapi di China

Kali ini saya berehat sebentar daripada Kembara saya di Beijing. Saya ingin mengajak anda ke Xi'an. Mengapa ke Xi'an? 

Xi'an adalah wilayah di selatan negeri China yang penting. Ia mempunyai penduduk Islam dari etnik Hui yang ramai. Xi'an terkenal dengan penemuan arkeologi yang mengejutkan iaitu Tentera dan Kuda Tanah Liat (Terracotta Warriors and Horses). Di Xi'an juga ada sebuah masjid tua yang telah dibina sejak abad ke-7 lagi. Keistimewaan inilah membuatkan saya ingin mengembara ke Xi'an.

Cuti musim panas Julai 2012 saya gunakan untuk mengembara ke Xi'an dan menaiki keretapi buat pertama kalinya di China. Semua saya lakukan sendiri. "DIY Xi'an!" Dari membuat tempahan tiket, hotel, sehinggalah ke tempat-tempat menarik di Xi'an semuanya "sendirian berhad'.  Saya pergi minggu lepas.

 

Debaran dan Perjuangan Membeli Tiket Keretapi


Berdebar-debar. Itulah perasaan saya setiap kali saya ke kaunter membeli tiket keretapi yang terletak berdekatan dengan Universiti Komunikasi China iaitu universiti yang menerima saya membuat penyelidikan di China ini. Saya tidak pernah berdebar-debar membeli tiket. Tetapi yang ini lain. Sebabnya saya tahu penjual tiket di kaunter itu tidak tahu bahasa Inggeris dan saya pula tidak tahu bahasa China. Ini yang membuat saya berdebar-debar. Mawar, Jingling, Zhu semuanya tiada untuk menemani saya membeli tiket kerana mereka entah ke mana-mana kerana bercuti.

Mahmud Chen lelaki Islam pertama yang saya kenal di China pula sudah pulang ke kampungnya di Angkang, Xian. Tetapi sebelum Mahmud pulang dia sudah tuliskan dalam karakter China tarikh saya hendak menaiki keretapi, destinasi saya dan jenis katil yang saya kehendaki. Tiket pula perlu ditempah dalam masa 5-7 hari sebelum pergi.

Mahmud Chen orang Islam Xi'an dari etnik Hui.Etnik Hui mewarisi keturunan Arab, Parsi dan Afghanistan yang menyebarkan Islam ke China pada abad ke-7 dan kemudian berkahwin dengan keturunan China (Han). Etnik Hui ini berkulit cerah seperti orang Arab, tinggi dan berhidung mancung. Mereka beragama Islam dan bermazhab Hanafi. Mahmud seperti adik kepada saya. Kami selalu makan tengahari bersama-sama di restoren halal di Universiti Komunikasi China. Mahmud selalu menterjemahkan bahan-bahan bahasa China buat saya dan selalu membantu saya sekiranya saya memintanya. Kalau anda ingin tahu bagaimana saya mengenali Mahmud Chen, sila klik di pautan ini.

Seminggu sebelum tarikh pemergianku saya sudah ke pejabat jualan tiket untuk menempah tiket. Saya hulurkan tulisan China tentang butir-butir perjalanan saya. Harap-harap dengan tulisan ini saya dapat tiket yang saya kehendaki. Setelah meneliti tulisan itu, kerani tiket itu memberitahu saya sesuatu yang saya tidak faham. Alamak kantoi saya?? Dengan keliru dan penuh tanda tanya saya tanya dia balik, tetapi dia balas dalam bahasa China sambil tersenyum-senyum kerana dia tidak tahu bahasa Inggeris. Saya menggaru-garu kepala saya yang tidak gatal. Saya bingung. Ketika itu saya berasa diri aku terlalu kerdil.

Saya meminta pertolongan orang lain yang beratur untuk membeli tiket, ada seorang lelaki menjelaskan kepada saya maksudnya. Barulah saya faham bahawa, keretapi yang saya kehendaki tidak ada. Saya perlu menukar keretapi lain dan ia bertolak pada waktu yang bukan aku minta. Satu lagi ia tidak ada katil. Cuma kerusi sahaja yang tinggal. Tak berapa seronok sikit sebab tak ada katil. Malangnya. Saya setuju sahaja dengan tiket itu walaupun saya tidak dapat katil yang saya kehendaki. Gembira juga saya kerana berjaya mendapatkan tiket dalam kesibukan percutian musim panas di China.

Tiket Keretapi dari Beijing ke Xi'an. Tiket keretapi pertama saya yang saya beli di Beijing


Setelah memperolehi tiket itu, saya minta pula tiket pulang dari Xi'an ke Beijing. Sekali lagi saya kantoi apabila dia cakap China. Sekali lagi orang membantu menterjemahkannya. Katanya tiket dari Xi'an ke Beijing belum lagi dibuka tempahannya, saya perlu datang lagi dalam masa 3 hari. Susahlah macam ni, tiket pergi ada, tapi tiket balik tak ada pula. Risau juga. Jadi saya tidak dapat membuat tempahan hotel lagi kerana belum tentu bila akan balik semula ke Beijing.


3 hari selepas itu saya datang semula ke pejabat jualan tiket itu. Berdebar-debar lagi saya. Kali ini saya tulis sendiri tarikh, destinasiku, jenis keretapi dan jenis katil (iaitu soft sleeper) dalam tulisan China di atas sehelai kertas. Sekali lagi saya menghadapi masalah berkomunikasi. Tetapi diselamatkan oleh orang yang datang membeli tiket sebagai penterjemah bebas. Saya diminta datang pada pukul 3 petang kerana tiket itu belum lagi dibenarkan dijual. Pulak dah! Begitu kaedahnya beli tiket di sini. Lecehnya! Sistem beli tiket macam ni tak mesra pelanggan langsung!

Pukul 3 petang itu saya datang lagi. Debaran saya berakhir. Saya dapat tiket dari Xi'an ke Beijing dengan katil (soft sleeper).Yaay! Gembiranya saya dapat tiket keretapi itu! Saya tidak pernah segembira ini mendapat tiket. Bayarannya ialah 442 yuan (RM221). Mahalkan! Tetapi tak apa, perjalananya jauh. Malam ini bertolak, hampir tengahari besok baru sampai.


Menempah Hotel di Xi'an


Setelah kedua-dua tiket pergi dan balik saya perolehi, barulah saya menempah hotel kerana menurut Mahmud Chen hotel banyak terdapat di Xi'an. Setelah membuat research dan membaca review dalam Trip Advisor akupun membuat tempahan hotel melalui hostelbookers.com secara online. Setelah confirm tempahan itu saya pun bersedia untuk ke Xi'an dari Beijing. Saya menelefon hotel itu dan bertanyakan cara menuju hotel itu tetapi menurut mereka, mereka akan mengambil saya di stesen keretapi apabila saya sampai. "Percuma,"  kata mereka. Baguskan?


Hampir Ketinggalan Keretapi Ke Xi'an


Pada hari saya berangkat ke Xi'an itu saya sudah membuat persediaan awal. Untuk menaiki keretapi ke Xi'an saya perlu ke Stesen Keretapi Beijing Barat (Beijing West Railway Station). Stesen Keretapi Beijing Barat ini amatlah jauh. Saya perlu menaiki subway Laluan Batong, tukar ke Laluan 1 kemudian turun di Stesen Military Museum. Setelah sampai di Military Museum, perlu pula mengambil bas untuk ke Stesen Beijing Barat. Mahmud Chen yang ketika itu berada di kampungnya di Angkang, Xi'an telah mengingatkan saya perjalanan ke Stesen Keretapi Beijing Barat memakan masa satu setengah jam dari Universiti Komunikasi China.


Stesen subway Military Museum

Military Museum yang terletak di hadapan stesen subway Military Museum


Saya keluar rumah pada pukul 6 petang dan telah sampai ke stesen Military Museum pada pukul 7 petang. Dari situ saya mengambil bas 320 untuk ke Stesen Keretapi Beijing Barat. Ini kali kedua saya ke situ. Kali pertama saya pergi saya nampak jelas stesen keretapi yang besar dan indah itu. Ia juga tidaklah jauh dari stesen Military Museum.

Inilah Beijing West Railway Station dalam fikiran saya, tetapi entah bagaimana saya tak nampak pula pada hari itu



Tetapi pada hari itu saya tidak nampakpun Stesen Keretapi Beijing Barat. Pengumuman pula semuanya dalam bahasa China. Arahan destinasi dan perhentian semuanya dalam bahasa China. Satupun saya tak faham. Dari satu perhentian ke satu perhentian saya tunggu, tetapi tak nampak-nampak stesen itu. Hari itu agak gelap jadi mungkin sebab itu saya tak nampak stesen itu. Lagipun dulu saya naik shuttle bus untuk ke stesen itu. Tapi kali ini naik bas biasa.


Bangunan ini letaknya di seberang jalan Beijing West Railway Station. Bangunan inipun saya tak nampak pada hari itu.

Apabila saya rasa perjalanan saya sudah terlalu jauh saya bangun dan bertanya pembantu bas di situ. Dia memberitahu saya supaya berpatah balik dengan menyeberang jalan. Alamak saya dah terlajak jauh rupanya! Lalu saya turun. Masa itu sudah pukul lapan malam.

Saya harus segera ke stesen Keretapi Beijing Barat. Saya harus sampai sebelum 8.30 malam. Keretapi bertolak dari Beijing ke Xi'an pada pukul 9.17 malam. Lalu saya lintas jalan dan menanti bas 320. Tetapi tiada. Ketika itu hari sudah gelap. Saya tahan dua tiga buah teksi. Semua sudah ada penumpang.  Saya mula gabrah. Habislah saya ketinggalan keretapi ke Xi'an. Saya mula give-up. Habislah!

Sebentar kemudian lalu sebuah teksi. Saya tahan. Dia berhenti. Saya terus meluru masuk ke dalam perut teksi dengan beg-beg aku tanpa bertanya apa-apa. Setelah duduk di belakang, saya terus memberitahu pemandu teksi itu iaitu seorang wanita supaya menghantar saya ke "Beijing Xi Zhan" (Maksudnya Stesen Keretapi Beijing Barat). Untuk kepastian bahawa dia membawa saya ke destinasi yang betul saya suakan tiket keretapi saya ke Xi'an yang mengandungi tulisan China "Beijing Xi Zhan." Dia angguk dan membawa saya terus ke tempat itu.



Saya dihantar pemandu teksi wanita ke Stesen keretapi Beijing Barat



Sayapun sampai di pintu masuk Stesen Keretapi Beijing Barat pada pukul 8.20 malam dan beratur masuk. Tiket saya dicop dan pasport saya diperiksa. Lalu saya terus bertanya platform mana saya harus pergi. Pegawai di situ memberitahu saya harus ke platform 7. Saya lihat orang terlalu ramai. Ada yang beratur. Ada yang lepak di atas lantai. Ada yang berjalan masuk. Setiap perjalanan saya ketika itu sedikitpun tidak buang masa. Saya sentiasa bertanya supaya saya tidak salah dan tidak ketinggalan. Kalau tidak rugilah saya.

Sesudah sampai di platform 7 saya disuruh pula beratur mengikut pintu 1. Saya lihat orang sudah ramai beratur memasuki pintu 1 itu. Sayapun beratur dan bertanya dalam bahasa Inggeris kepada seorang remaja lelaki bertopi ala rapper, "Adakah ini barisan untuk ke Xi'an?." Lalu remaja itu menjawab dalam bahasa Inggeris dengan fasih dengan accent Amerika pulak tu. Dia pun hendak ke Xi'an. Lega saya! 

"Alhamdulillah. Saya berada di barisan yang betul! Saya tidak ketinggalan keretapi! Saya dapat ke Xi'an!" 

Dia lalu menjadi teman saya sepanjang kami beratur itu. Dia memberitahu saya bahawa dia adalah pelajar di sebuah kolej di Michigan Amerika Syarikat. Jadi segala kesangsian tentang cara-cara membaca tiket dan menaiki gerabak keretapi itu saya tanyakan padanya. Dia menjadi penterjemah bebas saya. Gerabak saya nombor 6. Kami kemudiannya berpisah kerana dia memasuki gerabak yang lain.


Suasana Dalam Keretapi ke Xi'an


Apabila memasuki gerabak no 6, pegawai keretapi yang menjaga gerabak no 6 itu membawakan saya ke tempat duduk saya. Orang sudah ramai di dalam gerabak itu. Tempat duduk saya pun sudah diambil orang, tetapi pegawai itu menyuruh orang itu bangun kerana itu tempat saya. Sayapun melabuhkan punggung saya di atas kerusi. Saya duduk bersebelahan dengan seorang gadis. 

Pada mulanya saya menyangka saya malang kerana tidak dapat katil. Hanya kerusi sahaja. Tetapi saya lihat ramai yang lebih malang daripada saya. Mereka langsung tidak dapat kerusi. Mereka berdiri sahaja. Kesiannya. Mereka perlu berdiri selama lebih 12 jam! 

Setelah keretapi bergerak meninggalakan stesen Beijing Barat mereka tetap berdiri. Tetapi lama kelamaan ada yang mula duduk. Ada yang membawa bangku sendiri. Ada yang duduk di lantai. Tetapi memang tidak selesa kerana sekejap-sekejap pemeriksa tiket datang. Sekejap-sekejap ada yang datang bawa troli jual air. Sekejap-sekejap mereka jual makanan. Sekejap-kejap ada penumpang baru masuk. Ada sahaja sehingga tidak senang duduk. Keadaan amat sesak dan sibuk.

Suasana sesak dalam keretapi dari Beijing ke Xi'an. Kelihatan ramai penumpang tidak mendapat kerusi. Mereka duduk di lantai dan berdiri.



Lama kelamaan keadaan mula kurang sibuk dan tenang. Masing-masing buat hal sendiri. Ada yang tidur. Ada yang membaca. Ada yang menggunakan iPhone. Ada yang berbual-bual. Saya makan, solat dan bersahur di tempat duduk saya. Tidak ada sesiapa yang peduli.


Perjalanan ke Xi'an dari Beijing memakan masa 13 jam. Pengumumuan semuanya dalam bahasa China. Untuk memastikan saya tidak terlajak macam tadi tu, saya bertanyakan remaja yang duduk di kerusi hadapan saya. Dia jawab dalam bahasa China. tetapi yang ini saya faham. Saya dah mula faham sedikit-sedikit bahasa China. Disamping itu saya SMS Mahmud Chen dan Mahmud Chen tidak jemu menjawab SMS saya di awal-awal pagi. Menurut Mahmud, Xi'an ialah destinasi terakhir dan sepatutnya keretapi sampai pada pukul 10:02 pagi tetapi melalui pengalamannya keretapi selalu sampai lambat.


Sampai di Xi'an 

 

Stesen Keretapi Xi'an


Memang betul kata Mahmud Chen. Keretapi itu lewat sampai setengah jam di Xi'an. Apabila sampai saya terus keluar dan mencari wakil hotel yang berjanji menanti saya. Dalam kesibukan orang ramai itu saya nampak seorang lelaki sedang mengangkat sebuah kad dengan nama saya terpampang di atasnya. Saya gembira lalu saya memperkenalkan diri saya. Dua orang menunggu saya, seorang lagi perempuan. Lalu mereka membawa saya ke hotel yang tidak jauh dari stesen keretapi itu. Kami berjalan kaki kira-kira 10 minit. Perkhidmatan mengambil saya di stesen keretapi itu adalah percuma. Senangkan?

Sayapun sampai di hotel yang telah saya tempah melalui hostelbookers.com. Ia adalah Youth Hostel. Hostel ini sangatlah "COOL"! Sangat menarik. Tempat penginapan beginilah yang saya cari. Ia bercirikan "Chinese traditional courtyard setting". Nak tahu bagaimana rupa hostel ini? Akan saya ceritakan nanti dalam entri akan datang.

bersambung...

20 ulasan:

  1. Salam Naramas, selamat berpuasa di perantauan. ha camne naik ketapi duduk? sakit badan kan? kalau kerus dia tak bertentangan dgn org depan mgkin lebih selesa, btul tak?

    duduk di hostel mana?

    BalasPadam
  2. Salam Fatt,
    Naik keretapi ke Xian jenuh, lama bebenor he he he. Kerusi saya bertentangan dgn apek tu, kurang selesa sikit. Lepas tu orang lain duduk sepanjang-panjang lantai. Memang sempitlah.

    Duduk di Youth Hostel, namanya Qixian...bukan Kesian tau he he he...Hostel ni baik punya. Next entry saya akan ceritakan pasal hostel tu siap dgn gambar2 sekali.

    Selamat Berpuasa Fatt. Azan Masjid Besar Xian yang awak share dlm blog awak, terbaik le...

    Selamat Berpuasa :)

    BalasPadam
  3. Wah gigihnya, masa berpuasa pun sempat berjalan2. Saya memang terhibur bila membaca kisah2 pengembaraan puan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Sebenarnya saya nak merasa cara berpuasa dan taraweh orang Islam Xian. Itu yang pergi tu... Lagipun sekarang ni universiti cuti, habis semua tutup. Tak boleh nak buat apa. Nanti dalam entri-entri akan datang saya akan ceritakan kisah menarik saya berpuasa dan bertaraweh bersama orang Islam Xian. InsyaAllah.

      Terima kasih Mie, sebab rajin baca pengembaraan saya :)

      Padam
  4. Salam Yong

    Cabaran sungguh....kalau terlepas la ketapi tu...meraung kot kat situ jugak....hehe....

    Selamat berpuasa

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam ASP Yong,
      Selamat berpuasa. Apa lagi Yong mengobak le kalau tertingge, ate apa idak nye, habis semua lebuh.

      Padam
  5. Syabas..Nekcik teringin jugak nak merasa hidup di Xian ni sebentar..teringin nak makan maknanan halal cara cina!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, saya dapat makan makanan halal cara China Xian tu Nekcik!. Memang pengalaman yang amat berharga. Susah nak dapat. Nanti bacalah kisah saya ni nanti dalam entri-entri akan datang :)

      Padam
  6. bestnya prof... prof, december ni jom kita gi harbin nak.tak pun kalu prof gi harbin dulu jgn lupa tulis detail kat sini... nanti boleh saya jadikan sbg rujukan


    tgk ni prof, http://www.chinafacttours.com/images/harbin/china-s-snow-town/china-s-snow-town-211615.jpg

    best kan

    BalasPadam
  7. eKa,
    Alhamdulillah saya dah sampai ke Xian dan semuanya ok. Pergi Harbin? Wah menarik tu. Ada snow festival and Ice. Interesting place. Tapi sejuk sangat kot tempat tu. Boleh juga kalau nak pergi. Saya pun tak ada kawan. :) Thanks for the link. Saya dah baca dah. Menarik. Cantik tempat tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. mmg menarik.saya tgh kumpul info. tp rasa cam tak yakin sbb masalah bahasa.naknya bila prof citerkan masalah waktu beli tiket. lagi la melemahkan semangat saya. hehehe... kalu prof ada info sila share dgn saya ye...prof tgk sini.sgt teruja la saya http://community.travelchinaguide.com/review2.asp?i=4350

      Padam
    2. eKa,
      Masalah bahasa memang MASALAH UTAMA...tapi jangan cepat risau, kena tabah..insyaAllah ada yg boleh tolong. Alhamdulillah setakat ini setiap kali saya ada masalah bahasa je, ada saja yang jadi penterjemahnya. Saya pun tak sangka. Dia orang kesian kat kita kot... :) Tapi kita janganlah datang dgn tak ada ilmu langsung, sekurang-kurangnya buat persediaan misalnya tuliskan dalam bahasa China apa yang kita kehendaki, bawa mobile dictionary, etc :)

      Thanks for the link. InsyaAllah kalau saya ada info saya kongsikan.

      Padam
  8. Susahnya cabaran nak beli tiket keretapi tu yer.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Kayrol sebab menyahut panggilan saya utk baca entri ini :)

      Memang susah sikit nak beli tiket di Beijing ni kayrol. Banyak songelnya. Booking ada masa-masanya. Lepas tu kena tunjuk pasport, dll. Ini disebabkan masa ini musim cuti, cuti musim panas. Tapi kalau masa Spring Holiday lagi susah katanya. Asalnya saya nak ke Xianjiang tapi tak dapat tiket, itu yg ke Xian dulu.

      Padam
  9. menarik catatan saudari
    rasa berminat nak pergi
    berapa lama saudari di sana

    BalasPadam
    Balasan
    1. Afqh,
      Selamat berkunjung ke blog ini dan terima kasih kerana sudi ikuti kembara saya. Kalau berminat nak ke China, eloklah pergi. Banyak pekara yg boleh dilihat dan dipelajari di sini.

      InsyaAllah saya akan berada di sini selama 9 bulan.

      Padam
  10. Memang mencabar nak beli tiket kat China, tapi pengalaman saya setakat 2 kali saya ke sana, orang China ni suka menolong orang...

    BalasPadam
  11. @2121 studio,
    Benar kata 2121 studio, banyak dugaan terutama sekali masalah bahasa dan orang yg ramai. Begitu juga orang China ini memang suka menolong orang. Mereka menolong orang betul-betul/sungguh2. Kita patut contoh cara mereka ini :)

    BalasPadam
  12. assalamualaikum......saya tercari2 entry mana yg saudari ceritakan tentang hostel yg saudari tinggal....mohon bantuan plss.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Sang Tuah,
      Hostel yang saya inapi itu saya ceritakan sepenuhnya dalam entri berikutnya, bertajuk:
      Kembara Solo ke Xi'an: Youth Hostel Paling Menarik Yang Pernah Aku Inapi.
      Sila klik: http://nota-kembara.blogspot.com/2012/08/kembara-solo-ke-xian-youth-hostel.html

      Untuk memudahkan pembaca membaca semua entri saya di Xian dan tempat-tempat lain di China, saya telah masukkan dalam menu paling atas blog ini - "KEMBARA ASIA TIMUR".

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.