Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Isnin, 2 Januari 2012

Medan | 2 : Jutawan Segera

Tiba-tiba saya menjadi jutawan segera! Ringgit yang digenggam bertukar menjadi berjuta-juta rupiah. Ketika saya tukar duit ini di Penang kadar pertukaran wang ketika itu ialah 2.817, jadi setiap Rp50,000.00 itu lebih kurang RM18.00. Setiap Rp20,000.00=RM7.14, Rp10,000.00=RM3.60 dan Rp1,000.00=36 sen je.


Apa nak beli dengan duit berjuta ini? Telekung, kain batik, kain pelekat, baju, t-shirt, seluar batik, tali pinggang kulit, beg kulit, kasut, fridge magnet, terdapat banyak di bazar-bazar di Pasar Ikan, Medan Mall, dll.


Membeli di Pasar Ikan Lama memerlukan kepandaian menawar harga rendah. Saya dapati harga barang-barang di kota Medan dikawal harganya. Jadi harganya lebih kurang sama. Pekedai-pekedai akan mempertahankan harganya dan menanti-nanti pembeli yang tidak pandai menawar.

Di Pasar Ikan Lama saya dapat beli telekung kain kapas bersulam, berharga Rp90,00=RM32.00. Murahlah tu. Tetapi ada juga telekung yang berharga sehingga Rp350,000.00=RM125.00. Saya belilah telekung 3 helai, untuk buat hadiah. Saya tak beli banyak telekung dan kain batik di sini kerana di rumah saya dah ada beberapa helai yang dihadiahkan oleh pelajar-pelajar saya dari Medan.

Sambil tawar menawar sentiasa ada peniaga persendirian yang berjalan kaki mengekori ke mana kita pergi sambil merayu kita membeli barang-barangnya. Biasanya mereka menjual barang-barang yang kecil seperti penyangkut tudung, fridge magnet, key chain, beg, tali pinggang dan kain sarung.

Ayat-ayat power yang sering digunakan untuk meraih simpati saya membeli barangannya ialah,

"Mak, belilah untuk dihadiahkan kepada jiran tetangga. Mak, kalau tak beli, sekurang-kurangnya tolonglah anak...kan saya ini seperti anak Mak."

Atau, "Orang Malaysia banyak duit. Sepuluh ringgit, tak seberapa."

Ada yang kata, "Mak, belilah, hari ini tak ada seorang pun yang beli. Kesianlah saya, Mak, saya nak beli susu anak."

Ayat power ini yang membuat sayalemah dan cepat kesian. Mereka tarik muka sedih kalau kita tak beli. Saya menolaknya dengan baik kalau saya tidak berminat dengan barangan yang dijual mereka.

Saya kata, "Janganlah sedih. InsyaAllah ada orang lain yang beli. Rezeki itu ada di mana-mana, asalkan usaha."

Merekapun mengaminkan kata-kata saya.

Peminta sedekah wanita juga ramai yang mengekori kami sambil mengendung bayi dan menyua kolei. Jadi sentiasalah bersedia dengan duitnya.


Di Medan Mall harga barang sudah ditetapkan sebagaimana kebiasaannya, tetapi ketika saya dan keluarga saya ke sini, ada banyak jualan akhir tahun dan diskaun sehingga 40 peratus. Jadi anak-anak bujang saya beli kemeja dan t-shirt. Yang siabang minat t-shirt yang didesain sendiri oleh artisnya, iaitu ada motif grafiti. Yang siadik minat kemeja fesyen terbaru yang potongannya "fit" dari kain kapas. Kualitinya bagus dan harganya pun jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Boleh dapat dlm RM30.00.

T-shirt kain kapas pula boleh dapat dalam RM10.00. Ketika membeli-belah, ramailah awek di Medan Mall ini yang memerhatikan anak-anak bujang saya. Mula-mula berkirim salam, lama-lama minta nombor telefon dan facebook. Tersenyumlah mereka bila dapat apa yang diminta. 

Kami sekeluarga sempat ke kedai buku Gramedia. Gramedia ni macam Popular Bookstore kita. Di sini terdapat banyak buku-buku terjemahan ke bahasa Indonesia. Kamipun belilah beberapa buah. 

Bila terasa penat dan lapar kamipun duduk minum jus alpokat. Kami lihat ramai yang makan nasi tapi tak ada pulak sijil halal dipamerkan. Setiap kedai makan di Medan Mall ini kami semak sijil halalnya, tapi tak ada. Akhir sekali kamipun pergi ke Dunkin Donought, baru nampak sijil halal dari Majelis Ulama Indonesia. Kamipun makan donut tu tapi tak habis kerana rasanya terlampau manis.



Bika Ambon dan Kek Lapis Legit memang sedap kalau buatan Medan. Memang terkenal.  Saya selalu dapat hadiah kedua-dua kek ini daripada pelajar-pelajar saya (orang Medan) bila mereka balik dari Medan. Saya juga sering terima hadiah Bika Ambon dan Kek Lapis Legit daripada pelajar-pelajar saya (orang Jakarta) apabila mereka balik dari Jakarta. Tapi saya rasa Bika Ambon dan Kek Lapis Legit dari Medan lebih sedap. Kali ini saya beli dari Pak Rahmat, pemandu pelancong kami. Dia bagi kami cuba dulu. Keknya lembut dan rasanya sedap. Di kotaknya ada logo halal dari Majelis Ulama Indonesia. Kami bawa dengan tangan masuk kapalterbang bila balik. Sebiji kek harganya Rp80,000=RM28.00.

Kalau anda ingin beli Bika Ambon, pastikan ada logo halal, kerana resepi asalnya ada campur tuak, manakal kek Lapis Legit pula ada campur brandy.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...