Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 9 Januari 2012

Danau Toba | 1: Bayunya Berpuput Lembut

Di Medan Sumatera Utara ini tidak lengkap kalau tidak ke Danau Toba. Danau Toba letaknya di Parapat. Untuk ke sana kami harus melalui jalan-jalan yang berliku-liku, menuruni tanah tinggi Berastagi. Kami melalui beberapa pekan seperti Kabenjahe (Kebun Halia). Dalam perjalanan kami dapat menyaksikan rumah-rumah orang Batak Karo yang dibina di tanah kebun. Saya lihat banyak tanah-tanah yang dibajak, ditanam dengan pisang, jagung dan sayur-sayuran.


Rumah-rumah orang Batak ini dibina sebuah-sebuah dengan kubur-kubur dibina di hadapan rumah atau di kawasan rumah. Kubur-kubur ini pula dilepa dengan mosaik berbinaan meniru gaya Rumah Adat. Ada juga kubur yang memenuhi sebahagian halaman. Dikatakan kubur-kubur ini sebagai tanda atau bukti bahawa tanah itu ada pemiliknya. Keadaan ini berlaku kerana tanah-tanah ini tidak mempunyai geran, jadi kuburlah sebagai bukti pemilikan tanah tersebut.


Bas kami terus merodai jalan-jalan berliku ke Parapat. Kami melalui kawasan hutan yang tebal. Entah bagaimana saya terlupa akan jalan-jalannya yang berliku-liku kerana mata saya tertarik untuk melihat tasik biru melalui celahan pepohon yang saujana mata memandang. Monyet-monyet melintasi jalan mencari makanan. Terdapat rumah-rumah Batak dibina di pinggir tasik. Di sini tinggal suku Batak Toba. Di sini juga saya lihat warung-warung tuak yang penuh dengan lelaki Batak Toba sedang minum tuak. 

Ada sebuah arca berbentuk ikan di sebelah kiri jalan di pinggir danau. Kami berhenti mengambil gambar. Arca ini sebenarnya adalah rumah makan yang dahulunya dikunjungi ramai tetapi sekarang telah ditutup. Ditutup kerana pada suatu ketika berlaku "mati suri" di Indonesia, sekitar tahun 1996 hingga 2006.

Keadaan "mati suri" ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kekecohan Gerakan Acheh Merdeka yang mahu berkerajaan sendiri, pengeboman di Bali dan gerakan terroris dan Al-Qaedah. Kesemua ini membuatkan pelancong tidak mahu datang ke Indonesia dan ramai yang hilang pekerjaan. Keadaan ini melumpuhkan ekonomi pelancongan Indonesia.


Hati saya tiba-tiba berbunga mekar. Saya telah memenuhi cita-cita untuk melihat sendiri dengan mata saya  Danau Toba dan Pulau Samosir. Samosir ini lebih besar daripada pulau Singapura. Indahnya danau ini sehingga saya kehabisan perkataan untuk mengungkapkan keindahannya.


Damanyai hati saya melihat Danau Toba, hasil letusan gunung berapi terbesar di dunia. Satu lagi keajaiban ciptaan Tuhan. Bagaikan menonton National Georgraphy, tapi yang ini lebih nyata. Boleh disentuh, boleh dirasa. Menontonnya membuat jiwa saya tenang.


Di pinggir danau tumbuh hotel-hotel dan rumah peranginan. Bayu danau berpuput lembut. Terasa begitu mesra dan nyaman. Terima kasih Danau Toba kerana tidak bosan bersahabat dengan saya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.