Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman



Selasa, 3 Januari 2012

Medan: Santapannya Enak, Tilamnya Empuk

Disebut Medan pada saya, teringat akan makanan enak dan jus alpokat (avocado) yang pekat. Makanan enak lagi halal banyak terdapat di kota Medan ini.

Restoren yang dipanggil Rumah Makan juga adalah tempat pertemuan orang yang telah lama terpisah. Rumah makan di Medan yang luas dan bersih seperti Rumah Makan Famili di Jalan Sisingamangaraja telah mempertemukan saya dengan pelajar-pelajar saya yang lama tidak saya temui.

Sesampainya saya di situ empat orang pelajar saya sudah sedia menunggu. Wah efisyennya. Kedatangan saya ke Medan amat-amat dinantikan mereka. Seringkali mereka mengajak saya ke Medan dan ingin sekali membawa saya berjalan-jalan. Hanya kali ini baru saya berkesempatan.

Gembiranya saya dapat bertemu mereka. Terasa sungguh bertuah. Saya memeluk erat pelajar saya yang perempuan. Ilma, Zara, Rafika, Aris sudah bergraduat 3-6 tahun lalu. Mereka orang Medan yang datang ke Malaysia menuntut ilmu sejak usia belasan tahun dari peringkat Sarjana Muda hingga ke Sarjana. Kini mereka sudah bekerja menjadi dosen (pensyarah) Universitas Sumatera Utara, wartawan bebas dan penyunting di Deli TV di Medan.

Kami sempat bergambar bersama-sama dan saya abadikan ia di ruangan ini. Sebenarnya ada ramai lagi anak-anak murid saya orang Medan, tetapi yang lainnya tidak sempat saya hubungi.

Pertemuan saya dengan anak-anak murid saya orang Medan

Makanan ala Minang dan Jawa sentiasa mengencurkan air liur aku dan keluarga saya. Pilihan paling enak yang pernah kami rasakan ialah di Lubuk Idai yang letaknya di Sei Batang hariMedan. Rumah Makan berbentuk Pondok Lesehan ini menyediakan makanan Minang campur Jawa yang bersambal, bergoreng dan berbakar. 

Ayam dan ikan talipia yang dipanggang rangup dengan sambal kicap yang enak, ditambah  pula dengan pucuk ubi masak lemak, sambal terasi (belacan), ikan teri (bilis) goreng dengan  kacang tanah, gulai lemak nangka, rendang daging Minang...hmmm enaknya hingga menjilat "siku"...duduk pula di atas lantai dengan meja berkaki rendah - memang terbaik.


Hotel yang kami duduki


Perut yang kenyang, mata yang mengantuk sudah pasti tilam empuk jadi sasaran. Hotel Grand Antares yang letaknya di Jln Sisingamangaraja adalah hotel kami sepanjang kami di Medan. Hotel 4 bintang ini tidaklah begitu luas, tetapi banyak kemudahan disediakan. 

Malam itu saya nak cas bateri kamera saya, tapi plugnya palam tiga, tak boleh guna. Lalu saya tanyakan di kaunter, alhamdulillah adapun adapater disediakan, jadi bolehlah saya cas bateri kamera dan telefon bimbit saya. 

Wi-fi juga ada dan bolehlah anak-anak saya menyemak emel dan facebook menggunakan Android dan Blackberry sambil sarapan pagi di coffee house hotel ini. (Hotel ini tidak menyediakan PC kepada tetamunya).

Sarapan ala buffet di sini menyediakan soto Madura yang enak, bubur nasi, mee goreng, beehun goreng, nasi lemak, nasi goreng dengan pilihan lauk yang pelbagai, buah-buahan tempatan (spt buah salak, avocado, betik), bubur hitam, bika Ambon, kek lapis lengit, kuih talam, cereal, roti bakar, dll.

Ketika sarapan kakak saya cam muka seseorang dan kami yakin itu adalah saudara kami yang sudah lama tidak bertemu. Saya menegurnya dan bertanyakan asal usulnya dan ternyata dia adalah adik-beradik sedatuk kami. Gembiranya kami jumpa di sini. Diapun datang berjalan macam kami juga. Dia baru pulang dari Parapat. Lalu menceritakan kepada kami perjalanannya jauh, sesak dan berliku-liku sehingga mereka sampai lewat 2.00 pagi.

Hotel ini letaknya di tengah-tengah kota Medan tidak jauh dengan Masjid Raya. Di hadapan hotel ini juga terdapat kedai yang dibuka 24 jam. Kami sempat ke situ untuk membeli kosmetik Sari Ayu, teh langsing, balm cap lang, keropok Lays, asam kecut berjenama Kurang Asem, yang harganya jaul lebih murah berbanding dengan harga di Malaysia. Kami juga beli sim card di kedai tepi jalan bersebelahan hotel ini.


2 ulasan:

  1. Dr..jus avocado (buah) ni my most favorite waktu pegi indonesia seminggu..+..tempe dengan sambal kicapnya..memang sedap hingga menjilat siku la..

    BalasPadam
  2. Fishah, avocado mmg bagus utk kesihatan..kalau tgh diet elok makan sbg ganti daging ayam..tempe dgn terung goreng garing makan dgn sambal kicap mmg sedap..awakpun buruk makan mcm saya jugak sampai menjilat siku... he he he

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.